Laporan: PAS nafi PERKASA 'ejen' Dr M
PAS dilaporkan sekali lagi menafikan akan mewujudkan satu permuafakatan di antara parti Islam itu dengan PERKASA selepas menerima kunjungan hormat kumpulan pendesak Melayu itu kelmarin.
Malah, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan menolak cakap-cakap bahawa kehadiran presiden NGO itu Datuk Ibrahim Ali adalah sebagai ‘ejen’ kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membina kesepakatan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tuan Ibrahim dipetik berkata demikian dalam laporan BNBBC.my hari ini.
“PERKASA datang cuma nak buat kunjungan hormat kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Maka kita hanya berbincang mengenai isu-isu melibatkan negara yang dipersetujui bersama, tidak ada apa-apa muafakat pun, Datuk Ibrahim Ali datang mewakili NGO dia PERKASA,” katanya dalam laporan tersebut.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan tidak timbul soal PERKASA menjadi ejen atau mewakili mana-mana bekas pemimpin negara kerana pertemuan itu tiada agenda tertentu dibincangkan bersama.
“Ya, hanya program kunjung hormat, bukan ada agenda khas,” jawab Tuan Ibrahim ringkas.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
