Kita Lawan - Sivarasa hadapi tuduhan menghasut
Ahli Parlimen PKR Subang, Sivarasa Rasiah akan didakwa di bawah Akta Hasutan kerana didakwa berkata semasa perhimpunan 'Kita Lawan' pada 7 Mac bahawa badan kehakiman telah digunakan oleh Umno untuk mensabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Sri Anwar Ibrahim.
Beliau akan didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta berkenaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Selasa depan.
Notis tersebut diserahkan kepada Sivarasa ketika beliau datang ke Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas dipanggil untuk disoal siasat.
"Saya telah diserahkan satu notis untuk hadir di mahkamah Selasa depan selepas soal siasat," katanya.
Ini menjadikan dia orang yang ke-10 yang akan didakwa berhubung perhimpunan Kita Lawan yang diadakan untuk memberi tekanan kepada kerajaan untuk membebaskan Anwar.
Sivarasa sepatutnya telah didakwa sebelum ini pada 8 September bersama-sama dengan Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah (gambar) dan lapan yang lain.
Tetapi beliau telah mendapat cuti sakit selama enam minggu kerana menjalani satu pembedahan.
Pada 8 September lalu, Maria; MP PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan tujuh yang lain didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan Kita Lawan antara 28 Februari dan 28 Mac.
Lapan orang didakwa mengikut Seksyen 4 (2) (c) PAA dan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Mereka adalah Maria; Sim; PKR ADUN Teja, Chang Lih Kang; ADUN Semambu, Lee Chean Chung, Pemimpin Jingga 13, Fariz Musa; aktivis Mandeep Singh, Adam Adli dan Rozan Azen Mat Rasip yang merupakan pembantu kepada ahli Parlimen PKR Batu, Tian Chua.
Ketiga-tiga ahli Parlimen PKR itu boleh kehilangan status ahli Parlimen mereka jika didapati bersalah. Mereka akan secara automatik hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika didenda RM2,000.
Tertuduh kesembilan, pemimpin Pemuda Parti Amanah Negara, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar didakwa mengeluarkan satu ucapan berunsur menghasut.
"Nampaknya, pihak polis seolah-olah telah membuat keputusan mereka, (saman) itu hanya satu formaliti," kata Sivarasa.
Walaupun begitu, pemimpin PKR itu berikrar bahawa usaha kerajaan untuk menutup mulut mereka tidak akan berjaya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.