Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: TPPA tak akan sebabkan kenaikan kos perubatan
Diterbitkan:  Oct 16, 2015 11:40 PM
Dikemaskini: 5:47 PM

Malaysia berpendapat Perjanjian Perkongsian T‎rans-Pasifik (TPPA) tidak akan menyebabkan kenaikan kos perubatan dalam sektor farmaseutikal.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia akan mengekalkan dasar sedia ada berkaitan sektor itu.

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa ia (farmaseutikal) membabitkan paten selama 20 tahun dan ia melindungi dasar sedia ada manakala bagi ubat yang tidak berasaskan kimia, kita mempunyai perlindungan data eksklusif lima tahun," katanya pada sesi #TanyaGomen di ibunegara hari ini.

Pada masa depan, Mustapa berkata, ubat berasaskan biologi akan diletakkan di bawah ubat konvensional agar tidak terjejas dengan pelaksanaan TPPA.

"Saya ingin menegaskan TPPA tidak mengubah dasar Malaysia yang akan menyukarkan ubat generik di mana ia boleh dikecualikan jika kecemasan. Dan kami berjaya merundingkan terma selaras dengan dasar kerajaan kepada perlindungan perubatan pada masa ini.

Mengulas kesan TPP kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Mustapa berkata, TPP akan dikecualikan ke atas agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd dan Khazanah Nasional Bhd.

"Ia penting kerana Malaysia memiliki satu model pembangunan sosio ekonomi di mana kita perlu bantu Bumiputera untuk terus membangun," katanya.

Mengenai Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS), Mustapa berkata, ia bukan satu perkara baharu di dalam TPP dan Malaysia sudah mempunyai lapan perjanjian yang membabitkan ISDS dengan syarikat asing.

"Kita pernah disaman oleh dua syarikat asing dan syarikat Malaysia juga pernah menyaman dua negara luar di bawah ISDS .

"Kita telah belajar daripada kes Philip Morris di Australia di mana ISDS mengambil kira beberapa kelemahan seperti mewajibkan rundingan terlebih dahulu sebelum ke mahkamah dan ada proses tertentu sebelum syarikat dapat menyaman kerajaan," katanya.

Sementara itu, ketika berucap di satu lagi majlis di Kelana Jaya, Mustapa berkata, TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang pertama mengiktiraf agenda Bumiputera negara.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan agenda Bumiputera dan hak kerajaan negeri tidak terjejas sekiranya perjanjian TPP ditandatangani.

"Agenda Bumiputera telah diiktiraf oleh rakan rundingan TPP. Kontrak yang dikhaskan kepada Bumiputera akan diteruskan," beliau berkata demikian di Majlis Sesi Penjelasan Tentang TPPA anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein hari ini.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda Umno dan Pengerusi Akademi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut hadir.

Mustapa turut menegaskan bahawa Bumiputera mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Dalam minyak dan gas, sebut Petronas harum namanya. Syarikat ini diterajui Bumiputera. Jangan kita perkecilkan kebolehan kita," tambahnya.

Kira-kira 100 orang, termasuk pelajar dan profesional hadir di majlis itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS