Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas mufti: Sistem mahkamah syariah 'tak membantu'

Kerajaan digesa mewujudkan segera mahkamah rayuan khas bagi memperbetulkan ketidakseimbangan proses keadilan mahkamah syariah di negara ini.

Gesaan itu dibuat bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya di forum Apabila Isteri Jadi Suami di Kuala Lumpur malam tadi.

"Sistem undang-undang mahkamah syariah sekarang sangat tidak membantu keluarga Islam.

"Saya cadangkan kita sama-sama menggesa pemerintah mengarahkan atau mengeluarkan - dalam bentuk apa sekali pun - bagi membolehkan sistem mahkamah syariah menggunakan sistem inkuiri," tegas Ismail.

Beliau sebenarnya bukan asing jika memberi pandangan 'berani' dan kontroversi.

Ismail sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Mufti Terengganu. Pada Oktober 2013 beliau dihadapkan ke mahkamah syariah di negeri itu kerana menghadapi dua pertuduhan menghina serta mempertikaikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan arahan Sultan Terengganu berhubung penstrukturan semula majlis itu.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah.

Tidak popular di kalangan hakim

Sementara itu Ismail berkata beliau amat kesal dengan cara kursus perkahwinan sekarang dianjurkan kerana ia tidak menitikberatkan soal hak dan tanggungjawab berkeluarga.

"Oleh itu, saya cadangkan kepada pihak berwajib mengkaji serta mengubah semula kandungan kursus supaya lebih mengutamakan tentang hak dan tanggungjawab suami isteri," katanya.

Ia juga, kata Ismail, bagi mengelakkan kerajaan membazirkan wang untuk menangani masalah berbangkit daripada kesan keluarga bermasalah.

Selain itu Ismail juga turut menegaskan bahawa seseorang lelaki boleh dipenjara jika gagal melunaskan tanggungjawab dan nafkah kepada isteri dan anak.

Namun katanya, amalan itu tidak popular di kalangan hakim.

"Mungkin kerana bilangan hakim (yang bertugas ketika ini) lebih ramai lelaki," kata Ismail ketika menjawab soalan salah seorang peserta forum yang hadir.

Ismail dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Terengganu pada 1 Julai 2004, sebelum menjadi Mufti Terengganu bermula 1 April 2006.

Pada 1 April 2008, Ismail kembali dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie sebelum diarah meninggalkan pejabat dan jawatannya pada 28 Febuari 2012.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS