AMK: Kadar muflis golongan muda di M'sia merisaukan
Laporan Reuters baru-baru ini mengenai peningkatan kadar muflis golongan muda di Malaysia adalah sesuatu yang merisaukan, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.
"Laporan tersebut memetik data daripada Standard & Poors dan menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kadar hutang persendirian tertinggi di antara 14 ekonomi Asia.
"Angka ini telah meningkat kepada 88 peratus daripada jumlah KDNK negara, daripada 60 peratus pada tahun 2008," katanya Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahan pula, katanya, data Jabatan Insolvensi Negara menunjukkan bahawa 5,547 individu muflis adalah di bawah umur 35 tahun pada tahun lepas - lebih dua kali ganda daripada tahun 2005.
Pada tahun 2014, menurutnya, jumlah orang muflis bagi di bawah golongan umur 25 adalah 635 - tiga kali ganda daripada jumlah tahun sebelumnya.
"Perkara ini amatlah mengecewakan kerana begitu ramai golongan muda Malaysia yang baru sahaja hendak mengorak langkah ke alam pekerjaan sudah digelar muflis," tegasnya.
Jika ini berterusan, tambahnya, ia akan memberi kesan kepada kadar kepenggunaan domestik yang amatlah diperlukan di dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil.
"Kita juga tidaklah sepatutnya sewenang-wenangnya mempersalahkan golongan muflis ini, kerana seperti yang dikatakan di dalam laporan tersebut, keadaan terjadi sebegitu akibat mereka mencuba untuk
menceburi sesuatu bisnes atau terpaksa berhutang kerana keadaan begitu terdesak.
"Jabatan Insolvensi Negara juga mengaku ketika ditemuramah oleh Reuters bahawa ramai golongan muda ini yang dibebankan oleh hutang pelajaran dan juga perbelanjaan seperti pengangkutan dan tempat tinggal," kata Nik Nazmi lagi.
"GST, peningkatan kos sara hidup dan harga perumahan yang semakin tinggi sehinggakan kebanyakan orang tidak akan mampu membeli mengisyaratkan kegagalan pentadbir untuk menyediakan peluang yang
mampan dan sejahtera serta adil untuk setiap rakyat Malaysia," tambahnya.
Nik Nazmi berkata, PKR dan rakan-rakan seperjuangannya akan terus berjuang agar setiap rakyat Malaysia memperoleh kehidupan yang lebih baik.
"Ia perlu dilakukan terutamanya dengan memerangi rasuah serta kepincangan.
"Kita juga perlu merombak semua ekonomi negara, dan memberi fokus kepada perkhidmatan dan modal insan, mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan serta produktiviti," katanya sambil menyifatkan kebankrapan belia merupakan satu tragedi untuk Malaysia yang perlu dielakkan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.