Anwar: Gerakan reformasi perlu bekerjasama dengan PKR
Gerakan reformasi perlu berkerjasama rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai pembawa mesej perjuangan parti tersebut, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyarankan demikian dalam perjumpaannya dengan kira-kira 50 aktivis reformis semalam.
Menurut ahli Jawatankuasa Gerakan Bebaskan Anwar, Zulkifli Anwar Ulhaq, yang lebih dikenali sebagai Zunar, Anwar memberitahu mereka bahawa gerakan reformasi memerlukan jentera dan oleh itu, adalah penting mereka menyokong PKR yang berjuang untuk membawa perubahan
.
Istilah 'reformis' digunakan bagi mereka yang berada di barisan hadapan sewaktu berlakunya bantahan jalanan yang tercetus berikutan pemecatan Anwar pada 1998, tetapi mereka tidak terbabit secara aktif dengan politik kepartian.
Zunar menegaskan Anwar memberitahu bahawa beliau tidak membantah diadakan bantahan jalanan, tetapi ianya hendaklah sesuai dengan keadaan politik semasa.
"Anwar memberitahu bahawa beliau mempertahankan hak untuk berhimpun. Ada masanya bila kami mungkin perlu melakukannya, tetapi kami juga boleh menimbangkan cara-cara lain seperti menyertai parti politik dan menghantar memorandum," ujarnya.
Menurutnya lagi, Anwar juga menafikan bahawa beliau mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Umno.
Zunar berkata, tiada agenda yang ditetapkan dalam pertemuan yang diadakan di kediaman Anwar di Bukit Damansara itu dan kebanyakan soalannya lebih berbentuk peribadi, dan tidak terlalu difokus terhadap pergerakan reformasi.
Satu perjumpaan secara formal, kata Zunar, akan diadakan tidak lama lagi untuk membincangkan agenda perubahan tersebut.
Agenda yang konsisten
Seorang aktivis reformasi yang enggan namanya disebut, berkata ramai anggota gerakan reformasi yang keliru apabila mereka membaca laporan media yang memetik Anwar sebagai berkata bantahan jalanan perlu dihentikan.
Bagaimanapun, katanya, perjumpaan dengan Anwar itu tidak sepertimana yang diharapkan kerana beliau tidak menjawab sesetengah daripada soalan yang dibangkitkan.
"Kami mahu Anwar memberitahu kami rancangan masa depannya dan pada masa yang sama, mahu beliau mendengar apa yang kami mahu. Saya mahu tahu strategi berikutnya untuk reformasi.
"Bagaimanapun, kebanyakan soalan tersebut menyentuh mengenai masalah dengan PKR, yang memerlukan beliau memperjelaskannya satu persatu," tambahnya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua menafikan bahawa pertemuan itu diadakan berikutan timbulknya rasa tidak puas hati kumpulan tersebut terhadap Anwar berhubung kenyataannya mengenai bantahan jalanan.
"Saya tidak fikir ada rungutan mengenainya. Para reformis itu hanya mahu bersemuka dengan Anwar," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, Anwar telah memberitahu perjumpaan tersebut yang turut dihadirinya, bahawa beliau sentiasa konsisten dalam agenda reformasi yang berasaskan demokrasi.
"Apa yang Anwar beritahu kepada kumpulan itu sama sepertimana yang dinyatakannya kepada rakyat di Pulau Pinang dan Ipoh, dan kepada para peguam (dalam sesi dialog sehari sebelumnya). Beliau tidak pernah mengubah pendiriannya," kata Chua.
Beliau juga menyalahkan media kerana menenggelamkan isu tersebut sehingga mengakibatkan Anwar terpaksa mengulangi dan menjelaskan pendiriannya berulangkali.