Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SK Jalan Pegoh, Ipoh terbaru catat IPU tak sihat
Diterbitkan:  Oct 19, 2015 3:41 PM
Dikemaskini: 10:30 PM

Kualiti udara semakin merosot apabila SK Jalan Pegoh di Ipoh turut mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 102 setakat 10 malam.

Kini terdapat 18 kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat termasuk Seremban, Negeri Sembilan (178); Batu Muda, Kuala Lumpur (171); Pelabuhan Kelang (153), Banting, Selangor (151), menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Shah Alam di Selangor mencatatkan bacaan 145; Putrajaya dan Port Dickson (140), Nilai, Negeri Sembilan (139); Bukit Rambai, Melaka (137); Tawau, Sabah (136) dan Bandaraya Melaka (130).

Sebanyak 31 kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana antaranya Seri Manjung, Perak (99); Paka di Terengganu, Samarahan dan Kuching di Sarawak dengan bacaan (96) dan Balok Baru, Kuantan (90).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Sementara itu, sejumlah 463 sekolah rendah dan menengah di Kuching dan Samarahan ditutup hari ini susulan arahan Kementerian Pendidikan semalam setelah Indeks Pencemaran Udara di kawasan berkenaan semakin meningkat.

Jabatan Pendidikan Sarawak dalam satu kenyataan berkata penutupan sekolah di Bahagian Kuching dan Samarahan itu membabitkan 104,525 murid sekolah rendah dan 80,283 pelajar sekolah menengah.

"Sejumlah 265 buah sekolah rendah dan menengah di empat daerah dalam Bahagian Kuching iaitu Daerah Kuching, Bau, Lundu dan Padawan ditutup. Penutupan ini melibatkan 73,007 murid sekolah rendah dan 56,825 pelajar sekolah menengah.

"Manakala 198 buah sekolah rendah dan menengah di tiga daerah dalam Bahagian Samarahan iaitu Daerah Samarahan, Serian dan Simunjan ditutup membabitkan 31,518 murid sekolah rendah dan 23,458 pelajar sekolah menengah," kata kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS