1MDB: Pandikar senyum semalam, berkerut hari ini

   

PARLIMEN Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia Amin hari ini memerintahkan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) untuk menarik balik dan memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa menghina dirinya.

Kegagalan berbuat demikian, katanya akan menyaksikan Lim berdepan dengan penggantungan daripada Dewan.

"Kalau Gelang Patah (Lim) tidak minta maaf tanpa syarat pada saya, tak tarik balik (kenyataan), maka satu usul akan dibuat. Jadi minta disampaikan kepada Gelang Patah, bila tiba masanya nanti, tarik balik," kata Pandikar semasa persidangan hari ini.

Pandikar mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyampaikan keputusannya itu selepas meminta laluan daripada Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang sedang membahaskan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015.

Beliau merujuk kenyataan Lim yang mendakwa speaker menyalahgunakan kuasa dengan membekukan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selama tiga bulan dalam usaha mensabotaj siasatan 1MDB.

Lim berkata demikian ketika perbahasan mengenai pelantikan ahli parlimen menganggotai jawatankuasa terpilih.

"Sampaikan mesej ini kepadanya. Jika beliau enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya, maka usul ini akan dibawa terhadapnya.

"Ini telah berlaku kepada Gombak (Azmin Ali), Puchong (Gobind Singh Deo) dan Permatang Pauh (bekas ahli parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Keputusan saya tidak ada kena mengena dengan keadaan politik di negara ini," katanya.

Pandikar juga mengakui bahawa tersenyum semalam Lim ketika pemimpin veteran DAP itu mengeluarkan kenyataan berkenaan terhadapnya.

Katanya, kegagalan bertindak ke atas Lim akan memberi gambaran bahawa speaker hanya berani bertindakan ke atas ahli parlimen baru tetapi melepaskan ahli parlimen veteran.

Semalam, Lim dilaporkan berkata speaker Dewan Rakyat menggunakan kuasanya menangguhkan mesyuarat PAC, sedangkan tiada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat membolehkan speaker bertindak sedemikian.

"Tidak ada peruntukan diberikan speaker boleh berhentikan mesyuarat. Ini salah guna kusa Yang di-Pertua dan sabotaj penyiasatan 1MDB,” kata Lim merujuk siasatan PAC.

"Yang di-Pertua jadi diktator, itu tak boleh. Adakah Yang di-Pertua takut 1MDB disiasat?" soal Lim ketika mencelah perbahasan mengenai pelantikan pengerusi PAC baru semalam.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In