Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan mahu sebuah bank tempatan yang didakwa membuang pekerja-pekerja berrbangsa Melayu tidak menzalimi mereka.
Katanya, tindakan itu bukan langkah terbaik tetapi memberi kesan kepada kehidupan pekerja berkenaan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi hari ini.
"Kita harap perkara ini dikaji sebaik mungkin supaya tidak ada pihak yang dizalimi. Mungkin ia boleh disusun atur kembali untuk meneruskan produktiviti mereka.
"Tindakan memberhentikan pekerja ini bukan satu langkah yang terbaik dalam kegawatan ekonomi hari ini.
"Saya takut mereka yang dibuang kerja ini sukar terima hakikat," kata Nadzim kepada pemerita selepas sidang media "Bersama bertindak mengatasi ancaman jerebu" di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Nadzim, pihaknya juga tidak mahu mana-mana syarikat di negara ini hanya menjaga kebajikan pekerja ketika mereka berguna dan dikehendaki saja sebaliknya memberhentikan jika tidak lagi diperlukan.
"Saya takut esok-esok nanti robot yang akan buat kerja, manusia semua tak perlu bekerja.
"Kita kena cari kaedah membantu bagi menentukan rakyat atau pekerja mereka diberi perhatian walaupun di masa kegawatan ekonomi," katanya.
Minggu lalu, kumpulan pendesak Melayu, PERKASA mendakwa sebuah bank tempatan membuang pekerja-pekerja Melayu terutama yang berkhidmat dalam bidang teknologi maklumat (IT).
Menurut presidennya Datuk Ibrahim Ali beliau mengetahu perkara itu kerana menerima aduan daripada bekas pekerja yang diberhentikan.
Katanya, seramai 298 pekerja diberhentikan bermula 2008 sehingga kini dengan alasan mereka gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan ditawarkan Skim Pencen Awal (ERS) walaupun sudah berkhidmat lebih 10 tahun.
