Mahu sekat vape? Nanti dulu, kata belia
Putrajaya tidak seharusnya tergesa-gesa menghentikan kemasukan rokok elektronik atau "vape" ke negara sehingga kajian menyeluruh berkenaan penggunaan alat itu dijalankan.
Sebaliknya, kerajaan perlu mewujudkan segera peruntukan undang-undang terhadap penggunaan vape yang semakin menjadi kegilaan belia hari ini.
“Kalau kita ada undang-undang kita boleh semak, kerajaan boleh kawal (kemasukan rokok elektronik ini),” tegas anggota Parlimen Belia, Ridhwan Rosli kepada Malaysiakini .
Ridhwan berkata, berdasarkan kajian Public Health England, bahawa vape adalah 95 peratus lebih selamat daripada merokok.
Kata Ridhwan, kerajaan United Kingdom yang sejak sekian lama menjadi contoh kepada Malaysia juga telah memulakan kempen “berhenti rokok, mula vaping” susulan dapatan kajian itu.
“Vape tidak menyihatkan tetapi ia lebih sihat dari merokok dan ia adalah alternatif terbaik berbanding merokok,” katanya.
Kajian menyeluruh
Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim sebelum ini dilaporkan menggesa Putrajaya menghentikan sementara kemasukan "vape" ke negara ini sehingga kajian menyeluruh berkenaan penggunaan alat itu dijalankan.
Berucap pada perbahasan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 di Dewan Rakyat semalam, Irmohizam berkata berdasarkan maklumat yang diperolehnya, hampir semua negara Eropah cuba menghalang kemasukan vape ke negara mereka.
Ridhwan bagaimanapun mempunyai penjelasan terhadap kebimbangan Irmohizam itu, antaranya berkaitan bahagian alatan elektronik itu.
“Di Malaysia kita pakai subjek di Malaysia, maksudnya tank dan mod serta liquid (cecair perisa) yang ada di Malaysia.
“Oleh kerana kita tidak ada undang-undang yang standard, jadi yang masuk dalam negara hari ini kadang-kadang tak selamat.
“Ada liquid, vape dan sebagainya buat dekat belakang rumah campur entah apa-apa. Dan bila pihak Kementerian Kesihatan siasat dapati tak selamat dan saya tak nafikan, memang ia tak selamat,” tegas Ridhwan yang juga seorang usahawan vape.
Tiada standard
Kata Ridhwan, sikap rakyat di negara ini yang sentiasa mengutamakan barangan murah juga antara faktor mengapa vape tidak selamat di negara ini.
“Di Eropah selamat, di US (Amerika Syarikat) selamat tapi kenapa dekat Malaysia tak selamat? Soal Ridhwan.
“Sebab kita nak murah dan kita tak jaga standard. Jadi, besi yang sepatutnya dibuat besi paip dibuat besi mod, besi yang sepatutnya dibuat pagar dia pergi buat
coal
,” tegas Ridhwan lagi.
Justeru, ujar Ridhwan sekiranya Malaysia memperuntukkan undang-undang berhubung penggunaan vape sudah pasti tidak ada masalah mengenai rokok elektronik itu.
Malah, tegas Ridhwan pengusaha perniagaan vape serta pengguna rokok elektronik itu juga faham dengan langkah susulan kerajaan sekiranya peruntukan undang-undang mengenainya diwujudkan.
“Kita faham bila kerajaan kawal akan ada cukai dan sebagainya dan saya rasa pengguna vape dan pemain (usahawan) dalam industri vape tak kisah ada cukai,” katanya.
Vape kini menjadi kegilaan ramai, terutamanya selepas harga rokok kini melambung tinggi. Selain alternatif kepada perokok tegar, ia juga sering dijadikan alasan untuk berhenti merokok.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
