Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Semua orang akan memperoleh manfaat tertentu dalam Bajet 2016, terutama kumpulan berpendapatan rendah, selain kelas pertengahan, namun rakyat tidak wajar mengharapkan habuan yang tidak realistik, kata seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan, hari ini.

Ini selari dengan 'kedudukan ekonomi yang sangat mencabar dan di luar kawalan' yang menyebabkan ketidaktentuan seperti penurunan mendadak harga minyak mentah dan gas serta penyusutan ringgit, katanya.

Walaupun satu pertiga pendapatan negara disumbangkan oleh minyak yang harganya susut sehingga 50 peratus, pegawai berkenaan memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menghentikan projek yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Meskipun sukar, kerajaan mempunyai visi, pelan dan sumber untuk menyampaikan manfaat kepada rakyat," katanya pada taklimat mengenai teras Bajet 2016 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Abdul Razak di Dewan Rakyat esok.

Pegawai berkenaan juga menerangkan bagaimana Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikritik hebat oleh pelbagai pihak, terutama Pembangkang, sebenarnya muncul sebagi penyelamat dalam menyumbang kepada hasil kerajaan.

GST membantu menampung impak penurunan ketara harga minyak mentah yang kini sekitar AS$51 setong. "Tanpa GST, kita akan berhadapan masalah yang besar," katanya.

Beliau berkata dalam ucapan bajet, perdana menteri akan menjelaskan pentingnya GST dan bagaimana hasil daripada sistem percukaian secara meluas itu akan digunakan untuk rakyat.

Pegawai berkenaan berkata insentif akan terus diberikan kepada sektor swasta bagi meningkatkan pelaburan swasta dalam bidang utama serta merangsang aktiviti perniagaan termasuk perkhidmatan dan pelancongan," katanya.

"Usaha menarik pelancong dari China, yang merupakan sumber besar tunai segera, boleh ditingkatkan selain pelancongan perubatan bagi menarik pelancong Arab," katanya.

"Kerajaan juga akan meluaskan manfaat (GST) kepada sebanyak mungkin sektor manakala kemudahan perumahan terutama untuk golongan muda akan terus disediakan dalam bajet.

"Fokus Bajet 2016 adalah ke atas usaha melaksanakan perkara perlu, terutama menjaga kebajikan rakyat.

"Tidak ada masalah dalam meneruskan projek infrastruktur seperti Transit Aliran Ringan dan Mass Rapid Transit, serta Lebuh Raya Pan Borneo," katanya.

Ditanya sama ada cukai pendapatan akan dikurangkan, beliau berkata berkemungkinan ada pelarasan bagi memberi pelepasan, namun malangnya harga minyak mentah yang turun naik tidak membolehkan pengurangan dalam keadaan semasa.

Menerusi GST, dan andaian harga minyak kekal sekitar AS$80-AS90 setong, kerajaan akan mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk menimbang pengurangan cukai pendapatan, namun dalam senario semasa, opsyen itu terhad.

Ekonomi domestik terjejas akibat penurunan luar jangka ekonomi China dan kemungkinan peningkatan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS yang memihak kepada dolar AS yang akan terus menekan ringgit.

Selain GST, satu lagi langkah baik kerajaan adalah menerusi program rasionalisasi subsidi bahan api, terutama harga petroleum, yang kini memberi pulangan yang baik dari segi penjimatan kos bernilai berbilion ringgit.

Walaupun hasil minyak mentah sumbangan Petronas dan sayrikat minyak lain menerusi cukai dan dividen yang jumlahnya turun dengan ketara, Malaysia tidak mengalami kesukaran memandangkan ekonominya pelbagai, dengan asas kukuh, terutama permintaan domestik yang merupakan pemacu utama pertumbuhan, katanya.

Pegawai berkenaan berkata kerajaan akan melaksanakan perbelanjaan berhemat, dan untuk itu bajet 2016 meningkat sedikit sahaja daripada bajet 2015, sebanyak kira-kira RM260 bilion.

Beliau berkata bajet 2016 adalah berasaskan harga purata minyak mentah pada AS$48 setong.

Bajet juga akan menekankan kepada pengurangan defisit fiskal, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, ekoran cabaran ekonomi yang diunjurkan pada kadar 3.2 peratus tahun ini.

Beliau juga berkata Malaysia berada pada laluan pertumbuhan yang baik dengan keluaran dalam negara kasar diunjurkan pada 4.8 peratus pada 2016, dan 'boleh dicapai.'

Ditanya mengenai perjanjian Perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), beliau berkata Malaysia akan memperoleh manfaat besar jika menyertainya memandangkan banyak syarikat asing, terutama dari China, berminat menggunakan Malaysia sebagai pangkalan pelaburan bagi mengeksploitasi pasaran 12 ekonomi yang diperluas ekoran Beijing bukan pihak dalam pakatan itu.

"Syarikat Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana, wajar memacu eksport ke pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Chile bagi produk seperti minyak sawit," katanya,

TPPA akan mengambil masa dua tahun untuk dilaksanakan memandangkan ia perlu melalui pelbagai proses termasuk analisis manfaat kos, perbahasan di Parlimen dan kelulusan serta pengesahan, katanya.

Pegawai itu juga berkata bajet dijangkakan mendapat respons positif daripada anggota parlimen memandangkan ia merupakan bajet mesra rakyat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS