Khutbah Jakim: Pulihkan ekonomi, alam sekitar
Menjelang pembentangan Bajet 2016 hari ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berharap Putrajaya memberi perhatian utama dan peruntukan khusus kepada sektor pendidikan serta kesihatan.
Jakim dalam teks khutbah Jumaat hari ini turut menuntut kerajaan memberi pelepasan cukai kepada dua sektor itu bagi mengurangkan beban hidup rakyat selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
”Mimbar berharap semoga bajet kali ini akan mencerminkan segala kehendak dan harapan seluruh rakyat Malaysia. Juga semoga ekonomi negara akan pulih segera. Semoga kerajaan memberi perhatian utama dan peruntukan khusus kepada sektor pendidikan dan kesihatan.
”Buku-buku wajar mendapat pelepasan cukai demi mengurangkan bebanan pelajar-pelajar. Begitu juga dengan perbelanjaan rawatan dan perubatan untuk rakyat sewajarnya mendapat pertambahan pelepasan cukai untuk tahun 2016 demi kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Selain itu, Jakim juga menyeru sidang Jumaat agar mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan menjalankan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar ekoran masalah jerebu yang semakin kritikal dari hari ke hari.
“Allah SWT mengajak manusia berfikir tentang kejadian alam dan dikaitkan dengan implikasinya jika penjagaan alam sekitar ini diabaikan. Lebih-lebih lagi, mereka yang terlalu mengejar kekayaan dan pembangunan sehingga sanggup menggadai dan mengenepikan soal menjaga pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Jakim di akhir teks rasmi juga mengingatkan umat Islam sama-sama beriltizam untuk memastikan negara ini terus sihat dan sejahtera dengan keindahan alam sekitarnya tetap terpelihara.
“Mimbar berasa bimbang, jika kita lambat menginsafi dan membentuk satu budaya positif ke arah melestarikan penjagaan alam sekitar ini, lambat-laun kemusnahan dan pencemaran alam sekitar semakin serius.
"Saat itu, apa lagi yang akan tinggal untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang?" katanya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.