Umno didakwa tawar RM20 juta kepada Adun PAS Kelantan
Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Kelantan telah ditawarkan ganjaran RM20 juta dan jawatan dalam kerajaan negeri jika mereka menyokong Umno, demikian menurut dakwaan seorang pemimpin PAS hari ini.
Beliau yang tidak mahu namanya disebut, turut menamakan tiga Adun PAS terbabit. Bagaimanapun nama ketiga-tiga Adun itu tidak disiarkan di sini kerana belum dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.
Dalam pilihanraya umum pada 21 Mac lalu, Umno hanya memerlukan dua lagi kerusi untuk menawan semula Kelantan daripada PAS.
Ketika dihubungi hari ini, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Mohd Amar Abdullah berkata kerajaan negeri telah dimaklumkan mengenai tawaran tersebut, tetapi belum dapat mengesahkan kebenarannya.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Alwi Che Ahmad memberitahu malaysiakini bahawa tuduhan itu adalah tidak berasas semasekali.
Berita mengenai tawaran tersebut tersebar di kalangan ahli dan penyokong PAS di negeri-negeri lain dan sesetengah daripada mereka bimbang perkembangan itu boleh menjejaskan kedudukan kerajaan PAS Kelantan.
"Kami tidak mahu kehilangan satu-satunya negeri yang dimenangi," kata seorang ahli politik PAS dari Perlis.
Setia pada parti
"Malah, rakan-rakan saya dari Kelantan telah melahirkan kebimbangan mereka mengenai tawaran tersebut, apatah lagi dalam keadaan kerajaan negeri yang tidak kuat...ini ditambah lagi dengan khabar angin mengenai persaraan Mursyidur Am (Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat)," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Amar memberi jaminan kepada ahli dan penyokong PAS bahawa tiada sebab untuk mereka meragui ketaatan Adun PAS di negeri itu, yang kesemuanya begitu berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat selepas menang dalam pilihanraya umum Mac lalu.
Sambil melahirkan keyakinannya terhadap semua Adun PAS di negeri itu, beliau berkata, Umno hanya membazirkan masa dan tenaganya jika parti itu percaya yang pemimpin parti itu boleh dibeli.
"Mereka boleh menemui mana-mana di antara kami, tetapi saya ingin memberitahu ini kepada orang Umno anda tidak boleh memboli ketaatan kami. Saya juga menegaskan ini bagi pihak semua rakan-rakan saya," tegasnya.
Katanya, walaupun desas-desus mengenai tawaran itu belum diketahui kebenarannya, tetapi menegaskan pihaknya tidak akan memandang ringan perkara tersebut.
"Walaupun kita belum lagi pasti, kami akan sentiasa berjaga-jaga. Kami akan mengawasi keadaan supaya kami tidak dikejutkan olehnya nanti," katanya.
Mohd Amar berkata beliau tidak terperanjat apabila pertama kali diberitahu mengenai tawaran RM20 juta itu kerana Umno tidak akan beragak-agak membelanjakan wang sejumlah itu untuk menguasai Kelantan.
Bukan perkara baru
"Ini bukan perkara baru. Mereka sudahpun melakukan sebelum ini. Kami juga telah membuat laporan kepad Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini dan kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan baru sekiranya ada bukti yang mencukupi.
"Ada orang nak jadi orang besar di Kelantan. Mereka mahu menunjukkan bahawa mereka boleh berbuat sesuatu dan boleh merampas negeri ini dari tangan PAS. Mereka tidak akan berhenti melakukannya," tambahnya.
Sementara itu, Alwi yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata Umno tidak akan menggunakan taktik seumpama itu.
Sebaliknya, beliau menuduh PAS sengaja mengada-ngadakan cerita tersebut kerana parti itu takut pada bayang-bayangnya sendiri.
"Mereka telah gagal dalam pentabiran negeri dan mereka mengetahuinya. Ketika kami berkuasa, mereka menghentam kami kerana membeli Mercedes, memberi tanah dan kawasan balik kepada kroni, tetapi mereka sendiri melakukan perkara yang sama sekarang. Mereka tahu yang mereka tidak mampu...inilah masanya untuk menyerahkan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau mengakui bahawa Kelantan memang berminat untuk menguasai Kelantan, tetapi menegaskan bahawa parti itu tidak akan melakukannya melalui cara yang tidak beretika.
Ganjaran dari rakyat
"Ya, kami mahu memerintah Kelantan tetapi kami tidak begitu terdesak...Kami tidak pernah menggunakan wang dan kami tidak pernah berhasrat untuk melakukan sekarang.
"Kami tidak akan membeli sesiapa pun. Dan RM20 juta? Banyak duit tu. Lebih baik ianya digunakan untuk membina universiti, daripada memberikannya kepada orang PAS," tambahnya.
Namun begitu, katanya, khabar angin yang tidak berasas itu tidak sepatutnya menyekat wakil-wakil PAS yang sudah hilang keyakinan terhadap kerajaana negeri PAS, untuk bekerjasama dengan Umno.
"Kami boleh memberi tempat kepada mereka sebagai ahli Exco atau jawatan timbalan menteri besar. Kami tidak kisah kerana kerjasama seumpama akan menguntungkan rakyat," katanya.
Beliau juga berkata kerjasama dengan Umno itu tidak bermakna yang mereka mesti mengisi borang keahlian (Umno).
"Mereka boleh kekal sebagai wakil rakyat Bebas tetapi pada masa yang sama bekerjasama dengan kami. Ya, saya percaya mereka akan mendapat ganjaran sewajarnya, tetapi bukan dari Umno tetapi dari rakyat," katanya.