BERITA

PAS: Pakatan Rakyat masih ada, tanpa DAP

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Okt 2015, 8:16 pagi

Selepas sebulan Pakatan Harapan diumumkan tanpa PAS, parti itu hari ini tiba-tiba berkata Pakatan Rakyat, gabungan lama pembangkang, masih wujud.

Malah, kata PAS, Pakatan Rakyat berjalan tanpa DAP – kawan yang kemudian bertukar seteru politik PAS Islam itu.

“PAS akan memperkasakan Pakatan Rakyat dengan penyusunan semula kekuatan antara parti PAS dan PKR di samping beberapa buah parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Mesyuarat bersama PKR yang diadakan minggu lepas bersetuju untuk mengukuhkan muafakat melalui perbincangan di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan.

“Pakatan Rakyat tanpa DAP adalah satu platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini,” kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pakatan Harapan dibentuk pada 22 September melibatkan DAP dan PKR serta parti serpihan PAS, Parti Amanah Nasional (AMANAH).

Tuan Ibrahim berhujah, kewujudan Pakatan Rakyat dibuktikan melalui kerjasama politik di Selangor dan Kelantan.

Beliau juga mendakwa keadaan itu menyebabkan ada pihak yang iri hati dan menimbulkan spekulasi seperti 'Langkah Rawang' sebagai cubaan menghuru-harakan politik Selangor.

Sebuah blog sebelum ini mendakwa terdapat agenda menggantikan Azmin dengan anggota terbaru berprofil tinggi PKR, Datuk Saifuddin Abdullah, sebagai menteri besar Selangor.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menegaskan, realiti di Malaysia, paksi politik dan perubahan keseluruhan akan berlaku bila paksi politik Melayu dan Bumiputera membuat perubahan.

Ke arah itu, beliau membayangkan tindakan pemutusan hubungan mereka dengan DAP memberi anjakan besar kerana tidak lagi perlu memikul bebal dituduh alat parti yang dituduh chauvinis Cina itu.

Dalam masa yang sama, kata Tuan Ibrahim, isu seperti peningkatan kos hidup dan dakwaan penyelewengan BN dijangka turut menyumbang ke arah perubahan sokongan Melayu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.