Universiti Teknologi Mara (UiTM) yakin pelbagai sumber pendapatan sedia ada mampu menjana kewangan universiti awam sekalipun peruntukan Bajet 2016 bagi sektor pendidikan tinggi negara dikurangkan.
Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata mandat yang diberikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya universiti awam mencari 30 peratus sumber kewangan sejak dua tahun lepas mampu melebar luaskan usaha menjana dana tersebut.
"Selain kursus, penerangan dan sumber yang diberikan kementerian, UiTM mantap dengan barisan pakar-pakar yang berkebolehan untuk meningkatkan usaha mendapatkan dana dan peruntukan bagi universiti.
"Walaupun UiTM masih belum mencapai kadar 30 peratus itu, namun dengan sumber, syarikat pemegangan dan tempoh masa yang lebih panjang, universiti ini dan semua universiti awam mempunyai kebolehan menjana pendapatannya sendiri," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, pada Ahad.
Bagaimanapun, katanya, UiTM tetap bersyukur kerana kerajaan masih memberikan peruntukan kepada sektor institusi pengajian tinggi dalam pembentangan Bajet 2016 Jumaat lepas demi meneruskan agenda perjuangan bangsa.
Jelas Sahol Hamid, sungguhpun berlaku pengurangan dana daripada kerajaan, kadar yuran pengajian tidak semestinya dinaikkan kerana UiTM masih mempunyai pelbagai inisiatif lain untuk menjana tambahan peruntukan.
"Malahan, di UiTM kita bukan sahaja mengajar penuntut menjadi usahawan tetapi juga universiti itu sendiri mempunyai budaya sedemikian," katanya.
Tambah beliau lagi, universiti perlu lebih serius berbelanja dengan berhemah dan mengambil inisiatif berjimat dalam apa jua aspek yang melibatkan kewangan dan perbelanjaan yang dilakukan.
Ini kerana, katanya, sejak dua tahun lepas juga, universiti diminta sentiasa teliti dalam mengurus dan berbelanja termasuk penggunaan wang pengurusan serta menggunakan wang yang dijana sendiri melalui kursus jangka pendek, syarikat pemegangan dan konsultasi.
Dalam Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas, Kementerian Pendidikan Tinggi menerima peruntukan RM13.378 bilion berbanding RM15.785 bilion dalam Bajet 2015.
- Bernama
