Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mahu kerajaan membentuk satu badan petugas yang dianggotai oleh pakar-pakar ekonomi dan perundangan untuk menyemak semula kandungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum ia ditandatangani.

Perkara ini diusulkan oleh ahli Majlis Tertinggi Mubarak Datuk Ismail Kamat dan diterima tanpa bahas oleh semua perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak ke-12 di Hotel Seri Pasifik hari ini.

Menurut Ismail, cadangan TPPA datangnya daripada Amerika Syarikat yang bertujuan menjaga kepentingan negara itu termasuk banyak bab-bab dalam perjanjian digubal secara rahsia, tidak telus kepada orang awam.

“Menginsafi yang perjanjian TTPA ini adalah cadangan Amerika Syarikat tentunya ia bertujuan untuk kepentingan mereka supaya korporat gergasi dapat mengongkong segara membangun dari sudut geo-politik.

“Banyak lagi bab-bab dalam perjanjian ini dirahsiakan. Ada 29 bab lagi yang berasing digubal secara penuh rahsia, tidak telus dan tidak terbuka kepada orang awam.

“Seterusnya bab-bab dalam perjanjian ini mengatasi segala undang-undang dan dasar setiap negara-negara ahli boleh disaman (ambi tindakan undang-undang) oleh syarikat gergasi, jika undang-undang negara itu boleh menjejaskan keuntungan mereka,” katanya.

Mengulas isu yang sama, Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman mencadangkan supaya dokumen TPPA dibincangkan di Parlimen.

"TPPA harus dinilai dan dibincangkan secara serius dalam sidang Parlimen tanpa mengira latar belakang parti politik kerana ia melibatkan kedaulatan negara," kata Aziz.

Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu di Atlanta, Amerika Syarikat dan teks dokumen itu dijangka disiapkan penghujung bulan ini.

Malaysia tidak boleh lewat daripada dua minggu pertama 2016 untuk membuat keputusan sama ada menandatangani perjanjian itu atau tidak.

Rundingan TPPA, yang julung kali dilancar pada 2005, membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS