Sebuah tadika di Yanshi, wilayah Henan di China terpaksa memohon maaf apabila seorang guru memuat naik foto pelajar dalam keadaan berbogel di laman sosial.
Guru yang hanya dikenali sebagai Ma berkata, tindakannya itu bertujuan mengajar pendidikan seks kepada murid-murid serta membantu mereka belajar tentang erti kehidupan.
Ma yang dipetik Sina News, berkata, beliau memuat naik gambar berkenaan di laman WeChat kerana merasakan gambar kanak-kanak berkenaan comel.
Malah menurutnya, pelajar lelaki dan perempuan turut diasingkan bagi menghormati privasi kanak-kanak itu.
Namun, tindakan Ma ternyata mengundang pelbagai kritikan. Malah ibu bapa pelajar yang terbabit juga kecewa dan terkejut selepas melihat foto anak mereka dalam keadaan berbogel tersebar di laman sosial.
Ibu-bapa kemudian menuntut penjelasan pihak sekolah dan meminta supaya guru yang terbabit dipecat.
Warga maya turut melahirkan rasa pelik dan menyoal mengenai sistem pendidikan yang diamalkan.
Menurut seorang daripada mereka, jika perkara itu berlaku kepada anaknya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
