Mahkamah benar permohonan Najib gantung prosiding
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk menggantung prosiding kes saman PKR terhadap mereka.
Ia adalah berhubung dakwaan, perbelanjaan berlebihan dan penyalahgunaan dana pada kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) serta ‘derma’ RM2.6 bilion.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab dalam keputusannya berkata, terdapat alasan yang munasabah untuk membenarkan permohonan Perdana Menteri dan Tengku Adnan.
"Perbicaraan akan memakan masa lebih lama daripada yang dijangkakan tetapi (PKR dan yang lain) tidak akan diprejudis,” katanya.
Menurut Mohd Zaki, jika permohonan itu tidak dibenarkan akan timbul prejudis terhadap Najib dan tiga yang lain seandainya permohonan perdana menteri untuk membatalkan saman PKR pada akhirnya dibenarkan.
Najib, Tengku Adnan, syarikat pelaburan negara, 1MDB dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon supaya prosiding kes saman berkenaan digantung memandangkan PKR memohon agar penzahiran dokumen dibuat.
Najib juga memohon supaya pihaknya tidak perlu memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman itu kerana pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk membatalkaan saman kerana PKR tiada locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk membawa tindakan saman itu. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Mohd Zaki berkata jika permohonan untuk menggantung prosiding itu tidak dibenarkan, ia akan menyebabkan prejudis kepada Najib dan Tengku Adnan kerana mereka dikehendaki membekalkan dokumen berkaitan kes itu kepada plaintif.
"Jika dokumen-dokumen itu diserahkan kepada plaintif-plaintif dan sekiranya permohonan defendan-defendan (Najib dan Tengku Adnan) untuk membatalkan writ saman dibenarkan, mahkamah dapati ia akan prejudiskan mereka," katanya.
Mohd Zaki berkata plaintif-plaintif bagaimanapun tidak akan mengalami prejudis sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Najib dan Tengku Adnan kerana mereka boleh mendapatkan dokumen berkaitan kes itu kemudian, jika mahkamah tidak membenarkan permohonan membatalkan saman itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan Mohd Zaki menetapkan 11 November sebagai tarikh akhir untuk pengurusan kes bagi membolehkan semua pihak memfailkan afidavit berhubung kes itu.
"Kalau boleh saya tidak mahu kes ini dilambatkan,' katanya.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Tengku Adnan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan daripada anak guamnya juga supaya menyegerakan kes itu.
Pada 12 Ogos lepas, PKR memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen PRU ke-13 dan melanggar undang-undang pilihan raya.
Plaintif dalam saman itu ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Anggota Parlimen Batu Tian Chua, bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Gerakan Harapan Baru Dr Dzulkefly Ahmad.
Mereka menamakan Najib, Tengku Adnan, firma pelaburan negara 1MDB dan SPR sebagai defendan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.