Umno tak harus sisihkan Muhyiddin, kata Pemuda Umno S’gor
Seorang lagi pemimpin akar umbi Umno tampil meminta kepimpinan pusat supaya tidak memnyisihkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau masih lagi Timbalan Presiden Umno.
Ketua Pemuda Umno Selangor, Zainuri Zainal berkata beliau tidak bersetuju sekiranya Muhyiddin dipinggirkan.
"Takkan nak buang Tan Sri Muhyiddin Yassin macam tu saja? Walaupun beliau bukan lagi timbalan perdana menteri, namun masih orang nombor dua dalam Umno dan harus dihormati," katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian .
Zainur juga dilaporkan berkata beliau hairan bagaimana tersebar khabar angin mengatakan Muhyiddin akan dihalang daripada merasmikan perhimpunan agung sayap ketika Perhimpunan Agung Umno Disember depan.
“Keputusan itu akan ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, bukannya dibincang di kedai kopi.
“Setakat ini, belum pernah terjadi lagi Perhimpunan Agung Sayap dirasmikan oleh orang lain selain Timbalan Presiden Umno. Bagaimanapun sebagai pemimpin muda, kita akur dengan keputusan mesyuarat MT,” katanya lagi yang dipetik Sinar Harian .
Zainuri turut mengingatkan ahli Umno lain untuk menghormati bekas timbalan perdana menteri itu, bukan sekadar bersandarkan jawatan tetapi senioriti dalam parti, pengalaman dan jasa yang ditaburkan dalam kerajaan hampir 35 tahun.
“Sebaiknya tidak dilayan sebarang khabar angin yang bersifat melaga-lagakan, cakap itu, ini yang tidak berasas.
“Tambahan trend sekarang lompat parti sana sini untuk jadi tukang melaga-lagakan, sebab itu suasana politik caca marba dan memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Bagaimanapun, Zainuri berkata, beliau belum lagi mendengar desas-desus kononnya Muhyiddin akan diboikot pada Perhimpunan Agung Umno nanti gara-gara kelantangan beliau menyuarakan pandangan berhubung isu 1MDB, terutama selepas beliau tidak lagi bergelar timbalan perdana menteri.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menafikan khabar angin berkenaan, sebaliknya disifatkan sebagai tidak sahih kerana sekadar menjadi bualan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
