Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) tidak bersetuju dengan kenyataan Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Asri Zainal Abidin bahawa tarian bagi tujuan berzikir adalah bercanggah dengan nas-nas syarak.
Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata ini kerana banyak perselisihan pendapat di kalangan ulama sendiri berhubung perkara tersebut.
“Ada perselisihan pendapat di kalangan ulama, ada yang mengatakan boleh dan ada juga yang mengatakan tidak.
“Bagi saya, saya kurang setuju dengan pandangan Dr Asri kerana melihat kepada apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ia kurang sesuai,” kata Abdullah Zaik kepada Malaysiakini .
Malah, Abdullah Zaik berkata paling tinggi pun zikir adalah “diharuskan”.
“Ia bukan amalan yang disuruh atau digalakkan.
“Zikir bukan untuk melalaikan. Kadang-kadang zikir yang tidak kena pada acaranya boleh menjadikan kita lalai,” tegas Abdullah Zaik.
Bagaimanapun, tegas, Abdullah Zaik, sekiranya zikir itu melalaikan ia tidak digalakkan sama sekali.
“Kita berseronok berzikir sedangkan ia tidak mendatangkan apa-apa, seolah-olah kita dilalaikan daripada perkara sebenar yang perlu difikirkan,” kata Abdullah Zaik ( kiri ).
Mohd Asri semalam dilaporkan sebagai berkata tarian bagi tujuan berzikir adalah bercanggah dengan nas-nas syarak dan tujuan pensyariatan zikir itu sendiri.
Jawatankuasa Fatwa Perlis yang bermesyuarat pada 24 dan 25 Ogos lalu memutuskan bahawa perbuatan menari untuk berzikir dilarang mengikut syarak.
Tidak jelas mufti Perlis itu merujuk secara langsung kepada mana-mana kumpulan dalam kenyataannya semalam.
Masjid di Pahang?
Bagaimanapun, carian di Internet mendapati terdapat sebuah video menunjukkan jemaah pelbagai umur berzikir sambil menari dan menganggukkan kepala di sebuah masjid di Pahang.
Malaysiakini
sedang mendapatkan reaksi pihak berkuasa agama negeri itu.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini dilapor menegaskan supaya orang Islam tidak meniru amalan berzikir ke atas Nabi Muhammad sambil menari kerana perbuatan itu disifatkan menyeleweng.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, pihaknya mengeluarkan larangan itu dalam laman web e-fatwa menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 3 April 2000.
Kata Othman, dalam perbincangan tersebut, muzakarah memutuskan bahawa tariqat yang diguna pakai ketika berzikir ke atas Nabi Muhammad itu bertentangan dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah.
