Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pensyarah, Hafawati Ismail hanya tersenyum selepas diminta menonton satu video lagu folk mengenai anak muda yang tidak mengenal kuih tradisional.

Penulis buku 'Kuih dan Manisan Kelantan, Langkah Demi Langkah' itu belum pernah mendengar lagu Naquib Mohamad sebelum ini, tetapi amat memahami keluhan penyanyi tersebut.

“Ramai yang tidak kenal kuih tradisional. Malah, ada orang Kelantan yang tidak tahu asal usul kuih mereka,” kata graduan seni kulinari Universiti Teknologi MARA itu kepada Malaysiakini.

Beliau memberi contoh, kuih buah tanjung, tepung boko, kepik hidung dan jala emas. Hafawati berkata, kuih tersebut kini hanya boleh didapati dari nenek-nenek yang masih gigih menjual kuih tradisional di pasar.

Apa yang akan berlaku apabila tiada lagi orang yang dapat menyambung warisan ini? Hafawati berharap mereka dapat mencuba resipinya.

Beliau bersetuju bahawa ramai anak muda kini banyak menghabiskan masa di kedai kopi hipster untuk menikmati kopi mahal dan kuih muih barat.

Hafawati tidak menyalahkan mereka, malah beliau sendiri gemar meluangkan masa di kedai kopi seperti itu. Suasananya menarik dan beliau juga seorang penggemar kopi.

Cuma, harga untuk minuman yang disediakan oleh barista di kedai kopi seperti itu tentulah lebih tinggi daripada minuman di warung atau restoran mamak, keluhnya.

Hafawati berharap, buku tulisannya ini akan dapat mempopularkan kembali kuih tradisi apabila resipi itu dicuba oleh pembuat kuih dan hasilnya dapat dinikmati para pembeli.

Beliau tidak menyangka buku resipi karangannya itu terpilih mewakili Malaysia ke pesta buku terbesar di dunia – Frankfurt Book Fair 2015 baru-baru ini.

Anak jati Kelantan berusia 27 tahun ini berkata, pasaran tempatan sudah tepu dengan resipi kek dan pastri moden.

Maka, karya tersebut mengisi ruang kelainan dalam pasaran buku resipi kerana mengetengahkan kuih tradisional, katanya.

Hafawati berkata beliau bernasib baik kerana sering berpeluang untuk memerhatikan nenek dan ibunya menyediakan makanan sejak kecil lagi.

Orang tuanya itu turut membuat kuih untuk dijual di kedai kopi berdekatan rumah. Pengalaman itulah yang mencetuskan minatnya untuk mendalami bidang masakan, katanya.

Lihat Komen
ADS