Anwar gagal bukti dakwaan difitnah Anifah

Hafiz Yatim        

Bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membuktikan dakwaan difitnah oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Syed Hassan Badjenid berkata atas imbangan kebarangkalian, plaintif telah gagal membuktikan kes itu.

Anwar telah memfailkan saman RM100 juta terhadap pemimpin Umno Sabah itu kerana didakwa memfitnah ekoran satu sidang media Anifah di Washington. Baca berita penuh

Sementara itu, Bernama melaporkan mahkamah menolak saman tersebutdan memerintahkannya membayar kos sebanyak RM20,000.

Menerusi deraf penghakiman bertulis, Siti Khadijah berkata kenyataan Anifah terhadap Anwar dibuat di luar dari Malaysia dan mengikut Seksyen 23(1)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, bidang kuasa sivil Mahkamah Tinggi adalah bagi tindakan yang berbangkit di dalam negara sahaja.

"Mahkamah Tinggi di negara ini tidak mempunyai bidang kuasa atas kes-kes yang kausa tindakannya berbangkit di luar dari Malaysia," katanya.

Anwar memfailkan saman terhadap Anifah pada 27 Mei 2009 dengan mendakwakenyataan menteri itu pada sidang media di Washington bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton, telah mencemar imej beliau.

Anwar menuduh Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak memegang jawatan politik dan sebarang jawatan lain, dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Kenyataan itu kemudiaanya telah disiarkan melalui laman sesawang Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 14 Mei 2009 dan dua hari selepas itu (16 Mei 2009) akhbar The Star telah menyiarkan artikel bertajuk 'Anwar offered me the DPM post', (Anwar menawarkan saya jawatan Timbalan Perdana Menteri) berdasarkan kenyataan Anifah dalam sidang media yang sama.

Siti Khadijah juga berkata defendan (Anifah) telah membuat kenyataan amaran bahawa apa disebutkan ialah "hanya untuk makluman hadirin di sini' yang menunjukkan Anifah tidak bermaksud untuk kenyataannya disiarkan di Malaysia.

"Pada pandangan mahkamah, pernyataan amaran tersebut tidak boleh dikatakan sebagai 'afterthought' (difikirkan kemudian) memandangkan pernyataan itu nyata telah disebut pada sidang akhbar tersebut dan ia tidak dapat dipertikaikan oleh plaintif (Anwar).

"Jika kenyataan dibuat secara tertutup sudah tentu tiada keperluan untuk defendan memberi amaran seperti yang telah dilakukan. Daripada keterangan yang ada, lebih cenderung untuk menunjukkan kepada mahkamah bahawa defendan tidak bermaksud untuk kenyataannya disiarkan di Malaysia," kata Siti Khadijah.

Anwar sebelum ini memohon ganti rugi dan mendakwa bahawa kenyataan Anifah, yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah merosakkan keperibadiannya dan secara langsung atau tidak menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan korup.

Anwar diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Anifah.

Sementara itu, Anwar, yang turut hadir dalam prosiding hari ini, kelihatan bersahaja setelah mendengar keputusan tersebut dan beliau yang diiringi beberapa anggota penjara menemui ahli keluarga serta pemimpin pembangkang selepas prosiding selesai.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In