Malaysiakini BERITA

'Baru balik Makkah, saya tak tahu pasal tol'

Shakira Buang

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Exco Selangor Zaidy Abd Talib berkata tidak tahu menahu berhubung dakwaan kerajaan negeri meluluskan tanahnya untuk pembinaan tiga lebuh raya bertol di negeri itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Templer itu meminta perkara itu dirujuk kepada Menteri Besar Azmin Ali semasa pembentangan belanjawan Selangor esok.

"Saya baru balik Makkah, saya tak tahu apa-apa.

“Menteri besar akan jawab selepas bajet esok," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Inovasi Pentadbiran Kerajaan Negeri 2015, hari ini.

Tiga tol dirujuk itu adalah Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) yang masih dalam pembinaan.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin berkata pembangkang tidak mampu menunaikan janji untuk memansuhkan tol yang dibuat dalam manifesto pilihan raya.

Enggan ulas isu Umno-PAS

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju dengan pembinaan DASH, EKVE dan SUKE.

Isu tol hangat dibahaskan selepas tol di 18 lebuh raya di Lembah Klang naik mulai 15 Oktober lalu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudian dilapor akan meminta Azmin menjelaskan dakwaan beliau meluluskan tiga projek lebuh raya di negeri itu tanpa memaklumkan kepada parti.

Bagaimanapun Azizah kemudian menulis di Facebook, dengan mendakwa artikel itu tidak tepat dan Azmin tidak akan dipanggil.

Sementara itu, Zaidy ( gambar ) ketika ditanya berhubung kerjasama antara PAS dan Umno enggan mengulas lanjut.

"Saya tak komen, saya hanya buat kerja saya," katanya sebelum berlalu pergi.