Sejurus munculnya berita sindiket yakuza terbesar di Jepun Yamaguchi-gumi berpecah kepada dua kumpulan, seluruh balai polis di Jepun menjadi sibuk.
Ia mencetuskan kebimbangan berlakunya pergaduhan geng susulan haluan baru menimpa kumpulan jenayah terancang yang berpangkalan di Kobe itu.
Kebimbangan itu sudah tentu disebarkan imej berdarah susulan peristiwa hampir pada sekitar pertengahan tahun 80-an, yang juga melibatkan Yamaguchi-gumi.
Ketika itu, Jepun mengalami era “perang geng paling bermandi darah yang pernah disaksikan”, menyebabkan 300 kejadian tembak menembak, menurut David Kaplan dan Alec Durbo, penulis buku Yakuza: Japan's Criminal Underworld.
Dalam kes tahun ini, kematian pertama dicatat hanya seminggu selepas berita perpecahan Yamaguchi-gumi muncul, 6 September lalu.
Dilaporkan anggota kumpulan serpihan, Kobe Yamaguchi-gumi (KYG) ditembak mati dalam kolam air panas di wilayah Nagano.
Dua hari selepas itu, polis menahan anggota kanan kumpulan yang berkaitan dengan Yamaguchi-gumi atas dakwaan membunuh, lapor media tempatan Asahi.
Perkembangan terbaru menyaksikan 40 anggota polis ibu pejabat Yamaguchi-gumi diserbu polis pada Rabu. Alasan diberikan bagaimanapun berkaitan pemalsuan pendaftaran kenderaan.
Tiada insiden berdarah terbaru dilaporkan. Salah satu sebabnya mungkin susulan pelaksanaan undang-undang tegas anti-yakuza yang diperkenalkan selepas kekecohan besar sebelum ini.
Penulis veteran dan pakar jenayah terancang Jepun Atsushi Mizoguchi berkata ordinan anti kumpulan samseng itu kini mempertanggungjawabkan ketua-ketua kumpulan atas kesalahan anak buah mereka.
“Jadi bos-bos ini keberatan untuk terlibat dalam pergaduhan,” kata Mizoguchi dalam sidang media kepada wartawan asing di Tokyo.
- Al Jazeera, Asahi
