S'pura tambah RM15 juta untuk kembang bahasa Melayu

   

Singapura menambah 5 juta dolar Singapura (RM15.3 juta) untuk memperluaskan program pembelajaran bahasa Melayu di republik itu.

Setiausaha Parlimen (Pendidikan) Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata dana untuk program Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu (MLLPC) itu untuk digunakan bagi tempoh lima tahun.

Setiap tahun, sejuta dolar dari jumlah tersebut akan disalurkan bagi tujuan itu dari tempoh mulai tahun depan hingga 2020, lapor Berita Harian Singapura.

Langkah tersebut dilaksanakan susulan pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengenai peningkatan bagi dana MTLLPC sebanyak 50 peratus September lalu.

Walaupun bahasa Inggeris menjadi medium komunikasi utama di Singapura, Lee sendiri masih mengekalkan tradisi pemimpin negara itu yang fasih berbahasa Melayu.

Dengan peningkatan ini, lapor portal itu, program-program MLLPC sedia ada, seperti program membaca buku akan diperluas supaya lebih ramai pelajar boleh memanfaatkannya.

"Ini memberi banyak peluang kepada kita untuk mendekati masyarakat secara umum dan mereka yang fokus kepada penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu.

"Justeru, jika kita lihat peluang ini, kita sedang memikirkan bagaimana kita boleh meningkatkan lagi wadah dan juga pendekatan kepada masyarakat kita," ujar beliau yang juga pengerusi baru MLLPC Sekolah Rendah Pasir Ris.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.