Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Indonesia sepakat M’sia promosi kesederhanaan dalam Islam

Konsep kesederhanaan dalam Islam yang diperkenalkan Malaysia adalah selaras dengan gagasan Islam Nusantara yang digagaskan oleh Indonesia, kata Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.

Sambil menyambut baik langkah itu, beliau berkata kedua-dua gagasan itu membuktikan bahawa umat Islam di kedua-dua buah negara menolak sebarang bentuk tindakan ekstremis dan memilih untuk hidup dalam negara yang berjaya serta aman.

"Indonesia dan Malaysia adalah negara aman...Islam tidak ada radikalisme dan kita bukan negara gagal. Kita mempunyai pandangan yang moderat (sederhana)," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama di pejabatnya di Jakarta baru-baru ini.

Beliau berkata aktiviti keganasan oleh sesetengah pihak sebenarnya bukanlah disebabkan fahaman agama tetapi kumpulan terbabit menjadi radikal disebabkan hidup di dalam negara yang gagal.

"Memang ada kelompok Islam yang radikal dan di mana-mana semua orang takut, bukan sahaja (rakyat) di Eropah malah umat Islam juga takut... mereka bom seperti di Pakistan, Yaman dan Syria," katanya.

Jusuf berkata semua umat Islam harus bersama-sama menghentikan radikalisme di negara Islam kerana ia bukan dalam ajaran Islam sebenar.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam terbabit menjadi radikal akibat perbuatan negara barat menghancurkan negara mereka dan kebangkitan rakyat negara itu telah melahirkan kumpulan militan.

"Sebagai contohnya Al-Qaeda tumbuh di Afghanistan kerana ia negara gagal...pernah diserang Rusia dan Amerika Syarikat dan kehancuran negara itu telah mewujudkan Al-Qaeda sebagai perlindungan baharu (untuk rakyat) dan menjadi radikal.

"Begitu juga kemunculan kumpulan ISIS di Iraq dan Syria. Mereka hancurkan Iraq kerana Amerika Syarikat mahukan Saddam Husein hancur. Mereka membantu pemberontak di Syria dan daripada kehancuran itu maka wujud fahaman baharu menjadi radikal. Negara barat menghancurkan negara-negara itu dan mereka menciptakan sendiri musuhnya," katanya.

Puak berbeza

Naib Presiden itu berkata keruntuhan negara-negara Timur Tengah menjadi bertambah buruk apabila terdapat puak-puak yang berbeza fahaman iaitu Syiah dan Sunni menjatuhkan kerajaan mereka secara radikal dan mengorbankan banyak nyawa umat Islam sendiri.

"Walaupun terdapat fahaman seumpama itu di Malaysia dan Indonesia tetapi kita bersyukur negara kita lebih aman kerana kita bukan negara gagal," katanya.

Beliau berkata fahaman radikal itu menular masuk ke negara lain menerusi teknologi maklumat moden sekarang tetapi kerajaan Malaysia dan Indonesia berjaya mengawalnya.

Jusuf berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga tidak dapat berbuat apa-apa untuk membanteras keganasan kerana tidak mempunyai kekuatan untuk mengambil sebarang tindakan.

"OIC yang dianggotai 54 buah negara Islam hanyalah sebuah harapan sahaja, tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan dan tidak mampu untuk mengambil tindakan, ia lebih kepada menganjurkan persidangan," katanya.

Beliau berkata walaupun jumlah umat Islam lebih banyak di Timur Tengah namun adalah sukar untuk menyatupadukan semua umat Islam kerana terdapat perbezaan pendapat antara fahaman Sunni dan Syiah.

"Kita di Indonesia tidak mengharamkan sebarang fahaman...di Indonesia ada Syiah dan kita benarkan tetapi kita mencegahnya daripada diperluaskan," katanya lagi.

Indonesia pernah digemparkan dengan serangan pengganas oleh rakyatnya dalam tragedi letupan bom di Bali dan di Jakarta beberapa tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS