Lapan penjaja Little India enggan berganjak
Lapan penjaja di Kuil Sri Kortumalai Pillayar di Little India di Brickfields membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memindahkan mereka ke Kompleks Tun Sambanthan yang baru dibina di kawasan berhampiran.
Presiden Persatuan Peniaga Kecil Little India, G Gunasegaran berkata lapan penjaja tersebut beroperasi bersebelahan pasar raya Sri Kota sejak 20 tahun lepas dan bimbang pemindahan ke kompleks baru itu akan menjejaskan perniagaan mereka.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin semalam.
Nong Chik, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, melawat penjaja dan peniaga di Little India untuk mendengar rungutan mereka berhubung proses pemindahan ke kompleks baru itu.
Beliau mencadangkan mereka supaya menghantar memorandum kepadanya selepas sambutan Deepavali dan beliau akan membangkitkan perkara itu dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan DBKL.
"Sekiranya mereka merupakan penjaja dan peniaga kecil yang sah dan tuntutan mereka ada asasnya, maka saya akan membangkitkan isu ini dengan Tengku Adnan dan juga Datuk Bandar," katanya.
Masyarakat India di Malaysia akan menyambut Deepavali pada 10 November ini.
Sebelum ini, dilaporkan sebilangan penjaja dan peniaga kecil di kawasan Little India akan dipindahkan ke kompleks baru itu pada bulan ini.
Kompleks tersebut siap dibina dua tahun lepas tetapi peniaga tidak dapat berpindah kerana kawasan itu tidak dibina mengikut spesifikasi serta tidak mempunyai kemudahan untuk memasak.
Dibina dengan reka bentuk seni bina Moghul dengan kubah hiasan, kompleks itu mempunyai kemudahan parkir dua tingkat bawah tanah dengan 170 ruang letak kenderaan.
Sebanyak 12 outlet dibina di tingkat bawah untuk ruang makan dalaman dan di tempat terbuka manakala enam lagi ruang makanan di tingkat pertama serta satu bahagian dikhususkan untuk kedai menjual bunga.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.