8 penjawat awam antara ditahan terbabit dengan pengganas
Kakitangan awam adalah antara mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lapan suspek ditahan pada 30 Oktober lalu semasa operasi serentak di Selangor, Perak dan Johor.
Enam daripada suspek dipercayai adalah anggota kumpulan Tandzim Al-Qaeda Malaysia manakala dua lagi disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS).
"Semua suspek adalah rakyat Malaysia yang berumur di antara 22 dan 36.
“Dua dari suspek yang ditahan antara adalah penjawat awam yang bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan," kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek dari kumpulan Tandzim Al-Qaeda itu pernah ditahan di Lubnan pada 18 Oktober 2012 kerana cuba menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas.
“Mereka yang dieskot pulang ke Malaysia oleh pasukan khas dari bahagian counter terrorism pada 30 Oktober 2015 ditangkap setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA di Sepang,” katanya.
Khalid berkata empat suspek lain ditangkap merupakan saki-baki anggota kumpulan Tandzim Al Qaeda Malaysia yang masih bersembunyi selepas operasi tangkapan ke pemimpin-pemimpin kanan kumpulan itu pada Februari 2013.
Katanya dua lagi suspek merupakan penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kumpulan IS dan giat menyebarkan ideologi kumpulan pengganas dalam kalangan penjawat awam di jabatan terbabit.
Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Akta 747), katanya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.