Exco Perumahan Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula kos perumahan mampu milik di negeri itu berikutan kejatuhan nilai ringgit.
Bagaimanapun, beliau berkata buat masa ini kerajaan negeri masih belum ada sebarang keputusan sama ada untuk menaikkan kos perumahan tersebut.
Malah, Iskandar menjelaskan, kejatuhan nilai ringgit turut memberi kesan kepada pemaju dari segi harga bahan mentah dan binaan yang diimport.
"Sekarang belum ada keputusan untuk naikkan harga rumah mampu milik. Kita akan adakan kajian kos kerana kesan penurunan ringgit Malaysia.
"Bagi perumahan, ada bahan mentah digunakan dari tempatan seperti keluli dan eksport pula paling ketara peningkatan harga ialah kos membeli lif kerana semua diimport.
"Memang ada kesan pada pemaju. Kerana itu kerajaan negeri akan adakan perbincangan dengan pemaju," katanya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Taman Medan, Haniza Talha yang bertanya sama ada harga rumah mampu milik akan kekal memandangkan kejatuhan nilai ringgit.
Selain itu, ketika ditemui pemberita di lobi Bangunan Annex, Iskandar berkata kerajaan negeri akan cuba sedaya upaya untuk tidak menaikkan harga rumah mampu milik walaupun kos pembinaan meningkat.
"Kita akan tengok apa akan dilakukan. Kita sedaya upaya tak akan naikkan harga rumah.
"Kita akan bincang. Seboleh-bolehnya tak akan naikkan harga rumah yang telah ditetapkan untuk rumah mampu milik," katanya lagi.
