mk-logo
Berita
Husam: Rakyat kian susah, kita pula naik gaji
Diterbitkan:  Nov 4, 2015 4:28 AM
Dikemaskini: 7:59 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa hari ini menyindir “keberanian” kerajaan Kelantan susulan kenaikan elaun wakil rakyatnya kepada RM8,000 sebulan.

Husam berkata beliau tidak bersetuju dengan pengumuman itu kerana kenaikannya dibuat ketika himpitan ekonomi yang dirasai rakyat.

“Saya faham, ramai juga rakan-rakan ADUN rasa serba salah menerima kenaikan ini. Kos hidup dan tuntutan perkhidmatan yang meningkat kini memerlukan kenaikan elaun ini.

“Namun, ketika berdepan pengundi, timbul sedikit perasaan segan di hati. Rakyat kian susah, kita pula naik gaji,” kata bekas exco ekonomi ketika pentadbiran ikon PAS allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Sidang DUN Kelantan kelmarin meluluskan untuk meminda Rang Undang-undang Enakmen Saraan Anggota-Anggota Pentadbiran dan ADUN 1980 (Pindaan 2015).

Ia membabitkan kenaikan elaun menteri besar daripada RM12,800 kepada RM15,000 sebulan, timbalan menteri besar, (RM8,800 kepada RM13,000), exco serta speaker DUN, (RM6,000 kepada RM10,000) dan ADUN (RM4,600 kepada RM8,000).

Semakan terakhir melibatkan penyelarasan elaun anggota pentadbiran dan ADUN Kelantan dilakukan pada tahun 2010.

Dalam kenyataannya hari ini, Husam berkata, mengambil kira perasaan rakyat, kerajaan negeri harus segera melunaskan tunggakan sebelum bayaran pertama kenaikan elaun itu Januari depan.

Kata Husam lagi, kenaikan elaun yang diumumkan kelmarin menunjukkan kewangan kerajaan adalah kukuh.

Bagaimanapun Husam berkata sekiranya kewangan kerajaan negeri begitu kukuh tidak mungkin tunggakan yang membelenggu Yayasan Islam Kelantan (YIK) tidak mampu dijelaskan.

“Saya agak, kerajaan Kelantan akan berjaya melakukannya. Jika tidak, imej kerajaan sukar dibaiki.

“Selain itu, laporan Bernama bahawa semua 45 ADUN Kelantan menyokong cadangan kenaikan itu adalah tidak tepat. Saya tidak ada di Dewan ketika cadangan itu diluluskan,” kata bekas naik presiden PAS itu.

Husam juga menyatakan rasa terkejutnya apabila membaca laporan media bahawa dua ADUN BN menuntut elaun itu dinaikkan lebih tinggi lagi.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS