Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH nafi rekayasa kempen undi tak percaya PM
Diterbitkan:  Nov 4, 2015 6:00 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Kumpulan reformasi pilihan raya, BERSIH menafikan merekayasa kempen poskad yang menggesa ahli parlimen untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“BERSIH mendapat maklum bahawa beberapa pempetisyen didapati sama ada tidak wujud di dalam daftar pemilih atau telah mengisi kawasan parlimen yang salah.

“BERSIH dengan tegas menyatakan bahawa tidak terdapat sebarang penyelewengan di dalam proses mengisi petisyen atas talian tersebut.

“Ia telah dijalankan secara bona fide, dengan keyakinan bahawa mereka yang mengisi petisyen itu menyedari siapa wakil rakyat mereka dan di kawasan Parlimen mana mereka mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BERSIH bulan lalu melancarkan kempen ‘Undi Tidak Percaya’ melalui poskad dan juga laman web DearYB.my dengan tujuan supaya orang ramai dapat menyampaikan hasrat mereka kepada wakil rakyat masing-masing untuk menyokong usul itu.

Ia mengedarkan 20 ribu poskad ke seluruh negara, manakala lebih 11,000 petisyen atas talian dicetak dan dikemukakan kepada ahli-ahli Parlimen, pada hari Isnin lalu.

Menurut BERSIH, laman web berkenaan direka dengan kepercayaan bahawa mereka yang mengisi petisyen itu mengetahui kawasan dan ahli parlimen masing-masing.

Mereka juga mengakui tidak mempunyai mekanisme untuk memeriksa-balas pendaftaran petisyen mereka dengan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Sebarang kekurangan di pihak BERSIH dalam merangka sistem laman web DearYB.my amat kami kesali.

“Kami malah telah mengasingkan sejumlah besar petisyen yang tidak mempunyai nombor kad pengenalan atau menggunakan nama samaran, bahkan tidak menyatakan siapa wakil rakyat yang ditujukan.

“Justeru kami simpulkan bahawa sebarang kejanggalan dalam senarai pempetisyen antara lain menunjukkan sama ada para pengundi tidak tahu siapa sebenarnya wakil rakyat mereka, dan tidak sedar mereka mengundi di kawasan mana,” katanya.

Menurut BERSIH, apa yang lebih penting ialah suara rakyat yang mahukan wakil mereka di parlimen menolak kepimpinan perdana menteri yang telah mereka sampaikan.

“Amat dikesalkan sekiranya mesej yang mahu disampaikan cuba dikaburkan dengan perkara-perkara teknikal,” katanya mengakhir kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS