Ahli Parlimen Tanjong pula didakwa menghasut
Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik menjadi mangsa terbaru yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung satu artikel tulisannya yang diterbitkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina pada Februari lalu.
Sebelum kes Ng, aktivis PSM Khalid Mohd Ismath dikenakan 14 tuduhan - 11 mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia dan tiga di bawah Akta Hasutan. Khalid dibebaskan dengan jaminan pada 29 Oktober.
Ng berkata beliau akan hadir di Mahkamah Majistret di George Town pagi esok selepas dimaklumkan menerusi mesej daripada ASP S Shankar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas bahawa beliau telah dikenakan dakwaan menghasut.
Katanya, mesej Shankar berbunyi:"Selamat pagi YB, sila hadir ke mahakmah majistret Geogetown pada jam 8.30 pagi esok. YB didakwa di bawah seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948. Waran akan dikeluarkan hari ini."
Menurut Ng, dakwaan itu adalah tindakan sistematik oleh kerajaan ke atas ahli parlimen dan ADUN pembangkang.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ng berkata menjelang thaun depan, hampir separuh wakil rakyat pembangkang akan berdepan dengan tuduhan menghasut.
"Ia adalah tuduhan palsu terhadap saya. Tiada siapa yang membaca artikel itu akan berfikir bahawa ia adalah satu hasutan. Kita akan berjuang sehingga akhir dan kita mahu keadilan ditegakkan demi menyelamatkan Malaysia."
Ng berkata satu laporan polis dibuat terhadapnya oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA Ang Chor Keong pada 16 Feb tahun ini di balai polis Mak Mandin yang mendakwanya menerbitkan satu artikel berunsur hasutan bertajuk 'Bunyikan sangkakala reformasi’.
Artikel itu diterbitkan dalam akhbar Kwong Wah Yit Poh pada 11 Feb lalu, katanya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.