Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Dua minggu lepas, saya hadir ke Frankfurt mewakili DuBook Press, sebuah syarikat penerbitan buku yang baru berusia lima tahun untuk menyertai Frankfurter Buchmesse atau Melayunya Pesta Buku Frankfurt.

Ia pesta buku yang diakui sebagai antara yang terulung di dunia. Acara ini menghimpunkan penerbit, penulis dan ejen dari lima benua untuk berkampung selama lima hari di Messe (pusat dagangan) untuk bercakap mengenai dunia sastera, penulisan dan penerbitan.

Tetapi umum tahu agenda yang lebih utama ialah transaksi perdagangan berjuta-juta yang menghidupkan industri buku global.

Oleh kerana ini penyertaan kali pertama DuBook Press di Frankfurt, kami menetapkan matlamat utama utama untuk menimba ilmu tentang selok-belok industri buku di peringkat antarabangsa. Namun ini tidak bermakna kami datang dengan tangan kosong.

Saya bersama rakan kongsi, Firdaus Ahmad, membawa dua judul naskhah terbitan DuBook Press. Satu adalah buku kanak-kanak berjudul 'Advencer Yaya & Fufu', sebuah kisah dua beradik yang mengajar dan memperjuangkan tentang hak asasi manusia kepada kanak-kanak di seluruh dunia.

Satu lagi adalah novel bertajuk 'Bagaimana Anyss Naik Ke Langit?', yang berkisarkan tentang isu penindasan pribumi Penan dan pembalakan haram di Sarawak.

MBKM setuju selit dalam katalog

Kedua-duanya adalah hasil nukilan Faisal Tehrani, seorang penulis berbakat tanah air yang sering ditekan oleh kerajaan. Beberapa buah karyanya pernah diharamkan oleh pemerintah.

Di Frankfurt, DuBook Press hadir sebagai delegasi penerbitan di bawah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan yang berpegang pada moto ‘buku memperkaya minda’.

Hasil perbincangan berbulan lamanya antara DuBook Press dan MBKM sebelum Frankfurter Buchmesse adalah untuk menyelitkan buku 'Advencer Yaya & Fufu' sebagai salah satu judul untuk jualan hakcipta antarabangsa di dalam katalog ‘50 Best Malaysian Titles For International Rights’.

Buku kanak-kanak ini kami pilih kerana isinya yang lebih jinak berbanding novel 'Bagaimana Anyss Naik Ke Langit?' yang pada telahan kami berpotensi mengundang reaksi negatif dari pihak tertentu.

Namun pada hari pertama pesta buku tersebut, aku dikejutkan apabila mendapati 'Advencer Yaya & Fufu' telah digugurkan dari katalog ‘50 Best Malaysian Titles For International Rights’.

Walaupun di kulit muka katalog ada tertera judul buku kanak-kanak tersebut, tetapi di bahagian dalam sinopsisnya telah dihilangkan dan diganti dengan sinopsis sebuah buku ilustrasi kanak-kanak lain tentang rumah pokok di Borneo. P

Perkara ini amat mengejutkan kerana perbincangan antara MBKM dan DuBook Press sebelum tiba di Frankfurt langsung tidak pernah menyebut soal menggugurkan 'Advencer Yaya & Fufu' dari katalog tersebut.

Pertanyaan lanjut kepada pegawai yang mewakili MBKM akhirnya mendedahkan kisah sebenar pengguguran judul berkenaan dari katalog.

Antara sebab yang diberikan ialah latar belakang penulis iaitu Faisal Tehrani yang kontroversi, isu hak asasi manusia yang dibawa dalam buku ini dan juga watak Tok Adam dan Nenek Hawa yang dikhuatiri boleh mengelirukan kerana seakan menyamai Nabi Adam dan Hawa.

Jelas pegawai itu lebih lanjut, MBKM selaku agensi di bawah kerajaan perlu mengikut garis panduan dan mengambil kira sentimen pihak tertentu dalam memilih judul buku untuk katalog tersebut.

Keputusan menggugurkan 'Advencer Yaya & Fufu' adalah mengejutkan kerana tidak ada makluman secara bertulis atau lisan diberikan kepada kami sebelum ini. Alasan yang diberikan juga agak dangkal.

Adakah kerana beberapa buku karangan Faisal Tehrani pernah diharamkan maka semua karya beliau perlu disekat begitu sahaja? Adakah hak asasi manusia mengikut acuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang disampaikan melalui buku ini tidak diterima oleh kerajaan Malaysia?

Adakah mana-mana pasangan bernama Adam dan Hawa boleh saja kita labelkan sebagai cuba menyamai Nabi Adam dan isterinya Hawa?

Banyak yang telah diperkatakan tentang kehadiran delegasi penerbit Malaysia di Frankfurter Buchmesse. Antaranya, tentang Pavillion Malaysia yang dikatakan terlalu menitik beratkan hal makan-makan berbanding sastera penulisan atau tentang kebanyakan acara di ruang pameran Malaysia yang dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Perbandingan dibuat dengan negara jiran Indonesia yang jauh lebih menonjol penganjurannya kali ini, kerana lebih memberatkan sastera dari acara makan-makan dan kerana berani menggunakan bahasa mereka sendiri hatta ketika sesi pelancaran Frankfurter Buchmesse di pentas utama.

Harus diingat,Indonesia merupakan tetamu kehormat Frankfurter Buchmesse dan menjadi fokus utama sepanjang pesta buku ini. Maka pastilah mereka lebih menonjol dan gah penampilannya berbanding Malaysia.

Ruang pameran mereka jauh lebih besar, rombongan penulis dan penerbit mereka juga jauh lebih ramai. Malahan oleh kerana dunia penulisan mereka lebih matang dan terbuka berbanding kita, Indonesia tidak perlu bergantung pada acara makan-makan atau promosi pelancongan untuk menarik perhatian umum.

Aku tidak ada masalah dengan kaedah mempromosi makanan yang digunakan oleh delegasi Malaysia dan tema ‘Citarasa Malaysia’. Sudah sekian lama kita asyik ‘menjual’ Malaysia sebagai destinasi makanan terbaik di Asia bagi menarik kehadiran pelancong.

Acara makan-makan juga sudah sinonim dengan mana-mana majlis anjuran kerajaan. Itu tradisi dan kekuatan kita. Kalau disebut Malaysia maka pasti makanannya yang bermain di fikiran semua.

Malahan perut orang Malaysia sendiri walau ke Frankfurt hanya seminggu tapi wajib disajikan dengan nasi lemak, lontong, sate dan teh tarik buat menghilangkan kerinduan yang amat sangat.

Tetapi aku terkilan apabila buku kanak-kanak seperti 'Advencer Yaya & Fufu' disisihkan dari katalog buku negara di Frankfurter Buchmesse.

Kalau buku seperti ini diharamkan kerana penulis dan isi kandungannya, maka apakah harapan yang tinggal untuk industri buku Malaysia? Kita belum lagi bercakap tentang buku 'Bagaimana Anyss Naik Ke Langit?' yang pastinya jauh lebih haram.

Indonesia lebih matang

Oleh sebab itulah DuBook Press membawa judul itu sendiri ke Frankfurt tanpa bergantung pada MBKM.

Saya sebutkan sebelum ini betapa dunia penulisan Indonesia lebih matang dan terbuka. Ini kerana ketika di Frankfurt, saya mendapat tahu antara penerbit yang dibawa mereka adalah penerbit buku keagamaan Islam seperti Republika dan juga penerbit buku keagamaan Kristian seperti Kanisius.

Tidak cukup dengan itu, turut serta adalah sebuah penerbit bebas Marjin Kiri yang buku-bukunya berkisar ideologi sosialisme dan komunisme. Malahan buku-buku tentang penindasan atau kritikan terhadap rejim Sukarno atau Suharto dahulu boleh dipamerkan tanpa sekatan.

Di ruang pameran '17,000 Pulau Imajinasi', Indonesia turut mempamerkan manuskrip Hindu lama mereka. Kita mungkin sukar melakukan tindakan sama kerana kita cenderung menghapuskan sejarah Hindu dalam bangsa Melayu, dan mungkin kerana kita sudah ketiadaan artifak sejarah sepertinya.

Inilah realiti jurang perbezaan antara sastera Malaysia dan Indonesia. Inilah juga sebabnya kenapa komuniti buku Eropah lebih mengenali sastera Indonesia berbanding Malaysia.

Lihat saja berapa banyak judul buku Indonesia telah diterjemahkan berbanding buku dari Malaysia, atau betapa penulis mereka lebih dikenali di Eropah berbanding penulis dari Malaysia.

Di pihak DuBook Press, kami menerjah Frankfurter Buchmesse untuk menonjolkan dua judul yang kami bawa. Walau dengan sekatan oleh majlis buku negara, 'Advencer Yaya & Fufu' masih berjaya menarik perhatian penerbit dan ejen dari Indonesia, Singapura dan China.

'Bagaimana Anyss Naik Ke Langit?' pula berjaya menimbulkan minat penerbit dan ejen dari Jerman, Itali dan Sepanyol. Untuk sebuah penerbitan yang baru berusia lima tahun dan kali pertama berada di pesta buku luar negara, aku kira ianya boleh tahan.

Tidak apa jika buku kami terus disekat dan diharamkan. Tidak apa jika kami dipandang serong oleh pihak tertentu. Kami OK. DuBook Press sekian lama dianggap penerbit picisan yang liar dan disisihkan oleh komuniti arus perdana industri buku Malaysia.

Sudah berapa banyak judul buku yang terus disekat, terkini 'Karya Agong' tulisan Nasron Yasin dan 'Nazi Goreng' tulisan Marco Ferrarese. Tetapi di sebalik semua itu kami tetap jatuh bangun sendiri dan terus berkembang hingga sampai ke Frankfurt, dan pastinya jauh lagi.

Andai buku-buku terbitan DuBook Press tidak sesuai mengikut acuan citarasa Malaysia, maka biar kami bergerak sendiri untuk membawa buku-buku terbitan kami, dan juga terbitan penerbit atau penulis lain yang dipinggirkan, ke luar negara.

Cuma, jika kita masih dengan garis panduan serta menjaga sentimen pihak tertentu, maka selama itulah kehadiran Malaysia di mana-mana pesta buku luar negara akan terus mengharap pada sajian masakan dan acara makan-makan untuk menarik perhatian umum.

Sampai bila?


LUCIUS MAXIMUS atau nama sebenarnya Najib Anuar adalah ketua pegawai maklumat DuBook Press.

Lihat Komen
ADS