Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tetap lawan Umno, kata Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Nov 6, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

PAS tetap akan menentang Umno walaupun ada tuduhan yang mendakwa sebaliknya, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, PAS tetap memperjuangkan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya nilai hidup Islam dan atas dasar itu, parti itu akan berusaha menyingkirkan Umno.

“Semuanya usaha dan jihad bagi menegakkan agama Allah di atas muka bumi.

“Di atas inilah PAS berusaha membuang Umno daripada tampuk pemerintahan kerana kerosakan yang dibawanya dan juga budaya rasuah yang sudah berakar tunjang di setiap pelusuk pentadbiran negara.

“Oleh itu cukup-cukuplah dengan fitnah PAS mahu bersama Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, menerusi kaedah berpolitik dalam Islam, PAS akan menyertai pilihan raya dan juga membantah melalui demonstrasi, menyerahkan memorandum, mengadakan dialog dan berhujah samada di dalam dan luar parlimen dan dewan undangan negeri.

“Ketika perang, kita berperang dengan beradab - tempat ibadah, wanita dan kanak-kanak tetap dijaga.

“Pada waktu kita tidak berperang, kita menggunakan kaedah lain termasuklah mendesak, menasihat, berdemonstrasi dan juga berhujah,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, Islam membenarkan memberi nasihat dalam bentuk menegur tindakan kerajaan yang bertentangan dengan syarak atau mengemukakan cadangan penyelesaian dari kaca mata Islam.

“Maka bilamana Presiden menjelaskan PAS akan terus menasihati kerajaan ia bukanlah sesuatu yang asing dalam sistem politik Islam.

“Perkataan nasihat sebenarnya satu adab rendah diri keperibadian Presiden sebagai salah seorang ulama terkemuka di dunia. Beliau tidak meletak darjat dirinya lebih tinggi daripada orang lain,” katanya.

Katanya, apa yang lebih penting ialah matlamat perjuangan bagi menegakkan sebuah masyarakat yang terlaksana nilai-nilai Islam dapat dicapai melalui apa jua kaedah yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Bubar PAS

Malah, katanya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang adalah bekas Mursyidul Am PAS pernah berkata bahawa mereka sanggup membubarkan parti jika Umno Umno mengubah dasar perjuangan dari kebangsaan kepada Islam.

“Ini bermakna dalam perjuangan PAS, soal mendapatkan kekuasaan tidak menjadi matlamat, ia hanya alat bagi mencapai matlamat bagi pembentukan negara Islam,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, pada pilihan raya umum lalu, PAS bertembung dengan Umno di hampir 70 kerusi.

Daripada jumlah itu, hanya 20 kerusi yang berjaya dimiliki PAS manakala enam daripada kerusi itu kini beralih ke AMANHAH.

“Jika benar Umno dan PAS berniat mengadakan kerjasama politik, berapa kerusi daripada 50 kerusi Umno yang menang itu akan dibahagikan kepada PAS?

“PAS sudah tentu tidak akan melepaskan mana-mana kerusi yang pernah dimenanginya,” katanya.

Mengenai isu undi bagi menolak Bajet 2016, beliau berkata, PAS mengakui belanjawan itu adalah pembuka laluan kepada kadar cukai barangan dan barangan yang lebih tinggi pada bajet-bajet akan datang tetapiparti itu menerima hakikat bahawa PRU-14 masih jauh.

“PAS mengambil sikap berkecuali dalam mengundi tidak percaya pada Bajet 2016 kerana ada elemen di dalam bajet itu yang diperlukan oleh rakyat marhaen yang kian susah kehidupan mereka.

“Mereka tidak perlu menjadi mangsa politik dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kredibiliti negara terus dipersoal kerana skandal kewangan 1MDB dan juga Perdana Menteri dan juga pembangkang yang masih jauh dari mencapai kata sepakat,” katanya.

Beliau juga menyoal sekiranya pembangkang mendapat cukup sokongan untuk menang usul tidak percaya pada Bajet 2016, apakah yang akan berlaku selepas itu?

“Pengalaman Amerika Syarikat bilamana berlaku ‘goverment shutdown’ , selepas bajet Obama ditolak sehingga menyusahkan rakyat serta kakitangan kerajaannya - namun Obama terus berkuasa,” katanya.

Menurutnya, sekiranya bajet berjaya ditolak, ia hanya memeritkan urusan harian rakyat yang akan tergantung termasuk gaji kakitangannya yang tidak boleh dibayar .

Namun tindakan itu, kata Tuan Ibrahim langsung tidak mengancam kedudukan perdana menteri mahupun BN yang menjadi fokus untuk ditumbangkan.

“Percayalah Najib tetap tidak akan meletakkan jawatan walaupun bajetnya ditolak.

“Keadaan ini berbeza dengan usul undi tidak percaya kepada perdana menteri. Kerana PAS telah mengambil pendirian menyokongnya sekiranya ia dibawa untuk dibahas di Parlimen,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS