Kerajaan menubuhkan bilik operasi khas untuk menjawab segala soalan berbangkit mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Katanya, antara isu utama yang akan dijawab oleh petugas bilik operasi itu ialah persoalan mengenai harga ubat-ubatan yang akan terkesan jika TPPA ditandatangani dan dilaksanakan di negara ini.
"Kita sudah tubuhkan satu ops room dan kita sudah mula menjawab soalan (daripada orang ramai).
"Kita harap dapat menjawab. Kalau tak mampu menjawab semua sekali, kita cuba jawab satu persatu mengikut tajuk. Umpamanya antara isu utama ialah harga ubat, kita akan menjawab tentang hara ubat," katanya kepada media selepas menghadiri perlancaran My ASEAN Internship 2016 di Kuala Lumpur hari ini.
Tiap minggu cakap TPPA
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, keutamaan kementerian melalui bilik operasi khas itu ialah menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan orang awam.
Katanya, dengan pendedahan teks penuh TPPA semalam, ia dapat membantu mengatasi pelbagai salah faham dalam kalangan masyarakat.
"Saya rasa secara umum apabila dokumen itu didedahkan (semalam), ada yang tak percaya kita nak teruskan, ada masih ingat kita nak sembunyikan.
"Saya rasa ia mengubah sedikit persepsi orang ramai terhadap TPPA. Kedua, beberapa salah faham mungkin sudah dapat diatasi apabla dokumen berkenaan didedahkan.
"Maka masyarakat dapat mengetahui dengan jelas dan terang mengenai TPPA. Saya rasa kefahaman masyarakat tentang TPPA telah bertambah," katanya.
Dengan keadaan itu, kata Mustapa, ia boleh membantu orang ramai melihat faedah daripada pelaksanaan TPPA walaupun pada masa sama ia membabitkan kos juga.
Di pihak kerajaan, katanya, mereka harus melihat isu TPPA secara keseluruhan dan faedah yang melebihi kos.
Ditanya sama ada dokumen TPPA sudah dibentang kepada kabinet, Mustapa berkata: "Setiap minggu saya akan bercakap mengenai TPPA dalam mesyuarat kabinet".
