Gugurkan semua tuduhan bermotif politik, kata BERSIH
Kumpulan pemantau pilihan raya BERSIH menuntut supaya semua pertuduhan dan pendakwaan bermotifkan politik terhadap pemimpin parti pembangkang dan aktivis masyarakat dihenti dan digugurkan.
“BERSIH mengutuk tindakan menggunakan undang-undang secara sewenang-wenangnya dengan tujuan politik bagi menafikan hak membantah.
“Semua pertuduhan mesti digugurkan segera lantaran ia bertentangan dengan hak asasi manusia untuk berhimpun dan membantah secara aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai contoh, kata mereka, Akta Hasutan masih digunakan secara bebas oleh parti pemerintah untuk membendung aktiviti politik sesiapa sahaja yang menentang mereka.
Ia juga digunakan untuk menakut-nakutkan orang ramai.
“Ini pula dilakukan setelah berkali-kali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk memansuhkan Akta tersebut dan memungkirinya.
“Pendakwaan terpilih yang dilakukan pihak pemerintah adalah langkah menjenayahkan hak membantah, dan ia terus disalahgunakan tanpa sebarang bantahan daripada perdana menteri,” katanya.
Badan pemanatu pilihan raya itu juga memberikan beberapa contoh dengan kes terbaru iaitu Ahli Parlimen Tanjung Ng Wei Aik dan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa yang kedua-dua mereka didakwa secara berasingan mengikut Akta Hasutan.
“Minggu hadapan pula, aktivis Lawrence Jayaraj akan turut menerima nasib serupa ekoran komentarnya terhadap keputusan mahkamah dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim Februari lalu,” katanya.
BERSIH juga berkata badan itu melihat seakan-akan ada rantaian proses pendakwaan bermotifkan politik terhadap aktivis dan ahli politik pembangkang sejak akhir-akhir ini.
“(Ini) termasuklah pendakwaan di bawah Akta Perhimpunan Aman terhadap Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah, dan Naib Pengerusi Sabah Jannie Lasimbang,” katanya lagi.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.