Rosmah: Wanita perlu sokongan keluarga untuk berjaya
Isteri perdana menteri Rosmah Mansor percaya bahawa wanita memerlukan sokongan pasangan dan anggota keluarga demi mengecapi kejayaan.
Berucap dalam Persidangan Kepimpinan Wanita Muda ASEAN 2015 (AYWLC) hari ini, Rosmah berkata ini kerana wanita menganggap suami dan ahli keluarga sebagai faktor membolehkan mereka meneruskan kerjaya dan cemerlang dalam bidang yang dipilih.
"Jika terdapat kepincangan institusi keluarga, ia akan menyukarkan wanita untuk melepaskan diri dari rutin kerjaya mereka, sekali gus menyekat mereka mencari keseimbangan dalam kerjaya dan kehidupan mereka," katanya dalam ucapan perasmian majlis itu di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam hal ini, Rosmah juga menegaskan bahawa banyak wanita menolak memegang jawatan kanan kerana mereka mahu keseimbangan kerjaya dan kehidupan yang lebih baik dan bukan kerana mereka tidak mampu. [Baca berita asal]
Sementara itu, Bernama melaporkan Rosmah berkata membimbing wanita muda menjadi pemimpin yang efisien dan cekap adalah penting untuk masa depan Malaysia dan rantau ASEAN.
Beliau berkata wanita muda merupakan aset yang tidak ternilai dan mempunyai peranan lebih besar dalam memimpin dan mencorakkan masa depan negara.
"Dalam usaha membimbing wanita muda, pendidikan diiktiraf sebagai faktor paling signifikan. Pendidikan sememangnya dianggap sebagai faktor terpenting yang tunggal untuk kejayaan wanita.
"Melalui pengetahuan dan kemahiran, wanita menjadi lebih bersedia merangka dasar, memperkenalkan inisiatif dan menjadi perintis bagi inovasi dalam meningkatkan keupayaan mereka," katanya ketika berucap pada majlis minum petang untuk peserta persidangan itu di Kuala Lumpur hari ini.
Rosmah yang juga penaung AYWLC 2015, berkata sistem pendidikan tidak harus hanya menekankan pengajian sains, teknologi dan kemanusiaan tetapi ia harus direka dalam membantu pelajar untuk belajar dan berfikir secara kritikal dan kreatif tentang bagaimana membuat keputusan penting.
Beliau berkata wanita terpelajar mampu berada di barisan hadapan dalam aktiviti ekonomi, politik dan sosial.
Selain itu, Rosmah berkata wanita muda perlu disediakan dengan persekitaran yang memupuk dan menyemai keupayaan kepimpinan serta memastikan potensi wanita muda seperti pemimpin sepenuhnya, dimanfaatkan.
"Bagi membimbing wanita muda menjadi pemimpin yang efektif dan produktif, usaha dan kemudahan sokongan harus dilaksanakan.
"Untuk membantu kakitangan wanita muda menseimbangkan peranan di tempat kerja dan keluarga, struktur kerja baru dan dasar 'mesra keluarga' harus diperkenalkan termasuk pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, masa anjal, perkongsian kerja dan dasar bekerja dari rumah," katanya.
Beliau juga menggesa wanita yang berada di kedudukan tinggi profesion mereka mengambil langkah selanjutnya dan mempertimbangkan bagaimana boleh meliputi capaian mereka melatih serta membimbing wanita muda, baik sebagai individu mahupun pekerja di organisasi masing-masing.
"Ini ialah apa yang pekerja wanita muda tercicir dalam program pembangunan mereka, model untuk mereka mencontohinya," katanya.
Yang paling penting, Rosmah berkata wanita perlu mempunyai pasangan dan ahli keluarga yang menghargai dan memberi sokongan untuk berjaya.
Sementara itu, beliau berkata AYWLC 2015 akan menjadi platform untuk wanita muda melahirkan pandangan serta berkongsi aspirasi dan impian mereka.
"Penyertaan panel dan penceramah wanita muda ASEAN di sini bertujuan berbincang mengenai perkara penting dalam membina keupayaan kepimpinan, meningkatkan program dan kemahiran pengurusan projek bagi wanita muda," katanya.
Persidangan dua hari bermula esok di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, melibatkan lebih 500 peserta dalam kalangan wanita muda dari negara-negara ASEAN daripada pelbagai latar belakang.
Persidangan berkenaan bertujuan memperkasakan lagi pemimpin wanita muda dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosio-budaya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.