Perintah berkurung Esszone dilanjutkan sehingga 25 Nov

   

Perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 25 Nov, berkuat kuasa mulai 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata perintah berkurung yang masuk fasa ke-31 itu merangkumi tujuh daerah di kawasan pantai timur Sabah, melibatkan jarak tiga batu nautika.

Daerah terlibat ialah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan, para penyelidik antarabangsa, pelancong dan rakyat Sabah di daratan Esszone.

"Kita mahu pastikan ancaman penculikan oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina dapat dihindarkan kerana maklumat mendedahkan kegiatan 'Kidnapping For Ransom' (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan

penculikan serta jenayah rentas sempadan yang lain," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata lanjutan perintah berkurung itu juga memudahkan penguatkuasa memantau pergerakan bot yang mencurigakan, menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

Katanya, keputusan melanjutkan perintah berkurung itu turut mendapat sokongan pengusaha chalet dan pihak yang terlibat dalam aktiviti perikanan demi menjamin keselamatan perairan termasuk pulau-pulau di sempadan.

Katanya, kuasa diberi kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau bagi laluan yang mendesak.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In