BERITA

Hala tuju Pakatan Harapan, MB jumpa AMANAH Khamis

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Nov 2015, 5:28 pagi

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mahu mengadakan pertemuan dengan pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) Khamis ini untuk berbincang dengan pelbagai isu, khususnya membabitkan kerajaan negeri Selangor.

Ia antaranya termasuk menyelesaikan tuntutan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad supaya Pakatan Harapan menandatangani perjanjian bersama kerajaan Selangor.

"Itu cadangan dia (Khalid). Saya akan bertemu dengan pimpinan AMANAH pada hari Khamis ini.

"Untuk berbincang mengenai semua perkara (termasuk) macam mana nak lawan Umno-BN," katanya kepada pemberita selepas sidang media di ibu pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di ibu negara hari ini.

Dalam tulisan di blognya, Khalid yang juga pengarah komunikasi AMANAH berkata, kerajaan Selangor kini bukan lagi sebuah kerajaan Pakatan Harapan mahupun Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya kerajaan negeri menjelaskan tentang kedudukan kerajaan Selangor kini yang digambarkan sebagai "suami yang mempunyai isteri yang sah dan turut ada wanita simpanan".
Justeru beliau mencadangkan supaya status dan kedudukan kerajaan negeri diselesaikan dengan memberitahu secara rasmi hubungan semua pihak melalui satu perjanjian kerjasama antara Pakatan Harapan dan PAS.
Katanya lagi, perjanjian itu tidak akan menjejaskan kedudukan Pakatan Harapan Selangor mahupun PAS negeri itu.
Sebelum ini,Timbalan Bendahari DAP Selangor, Lau Weng San juga mahukan Azmin supaya mengiktiraf bahawa kerajaan negeri Selangor kini adalah diterajui oleh Pakatan Harapan.

Menurut Lau yang juga adalah ADUN Kampung Tunku, perkara itu perlu dijelaskan memandangkan kerajaan Selangor kini dipimpin oleh parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) manakala PAS tiada dalam gabungan itu.

Malah, ada juga perwakilan DAP Selangor pada mesyuarat parti itu awal bulan ini mencadangkan supaya kerajaan negeri memecat semua wakil rakyat PAS dalam pentadbiran negeri bagi menyelesaikan kebuntuan gabungan pembangkang di negeri itu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan