Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meminta supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji semula cadangan agar cecair perisa vape yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.
Beliau berpandangan, sekiranya ia dilaksanakan, peniaga vape yang kebanyakannya dimiliki oleh anak muda Melayu akan mengalami kerugian.
Menulis di Facebook, Ismail berkata, ini kerana kebanyakan farmasi dimiliki oleh syarikat besar termasuk dari luar negara dan ia akan membunuh perniagaan vape anak muda tempatan.
"Di farmasi bermakna, peniaga-peniaga vape tidak lagi boleh berniaga sebab farmasi dimiliki syarikat-syarikat besar termasuk syarikat luar negara. Tindakan ini tentu sahaja akan membunuh perniagaan vape yang kebanyakan dimiliki oleh anak-anak muda Melayu.
"Oleh itu saya berharap KKM dapat mengkaji semula cadangan baru ini dengan mengambil kira kerugian yang bakal dialami oleh peniaga-peniaga vape yang terpaksa menutup perniagaan mereka.
"Saya berharap KKM dapat duduk berbincang dengan peniaga-peniaga vape bagi mecari kaedah penyelesaian yang ‘menang-menang’ dan dalam masa yang sama menyegerakan dan memperkenalkan peraturan yang lebih jelas kepada semua komuniti sama ada kepada pengguna, penjual dan pengusaha perisa (vape)," katanya.
Ismail yang juga ahli parlimen Bera adalah menteri yang sering bersuara mengenai isu vape.
Vape menjadi topik hangat selepas KKM memilih menyerbu kedai yang menjual cecair yang mengandungi nikotin, bahan terkawal yang memerlukan permit untuk menjual dan menganggapnya sebagai e-rokok.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata kesan e-rokok adalah sama seperti menghisap rokok.
Serbuan itu dibidas pelbagai pihak termasuk rakan-rakan kabinet, terutamanya selepas mesyuarat jemaah menteri Jumaat lalu memutuskan bahawa vape tidak akan diharamkan buat masa ini.
Bagaimanapun, semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula memberitahu, cecair perisa e-rokok yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.
Katanya lagi mengikut Akta Racun 1952, penjualan nikotin oleh lain-lain pihak adalah salah di sisi undang-undang.
