Mahkamah arah k'jaan pulangkan buku Zunar
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan membatalkan larangan terhadap dua buah buku Zunar 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun .
Mahkamah itu juga mengekalkan arahan supaya kerajaan membatalkan larangan itu, selepas menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif mengetuai panel lima hakim membuat ketetapan itu secara sebulat suara.
Panel tersebut membuat keputusan selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bol Hassan yang mewakili KDN.
“Tidak ada merit dalam rayuan (ini). Kami (mahkamah) bersetuju dengan mahkamah rayuan, jadi rayuan (KDN) ditolak,” kata Rauf.
Zunar diwakili oleh peguam K Shanmuga. Zunar tidak hadir di mahkamah kerana sedang berada di luar negara.
Terdahulu, KDN mengharamkan buku tersebut pada 25 Mei 2010 bawah Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dengan alasan menjejaskan ketenteraman awam.
Buku itu diterbitkan oleh Malaysiakini dan syarikat Zunar Sepakat Efektif Sdn Bhd.
Penerbit mencabar pengharaman buku itu pada Julai 2010 tetapi kalah di peringkat Mahkamah Tinggi.
Keputusan itu bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.