'Kemenangan iktiraf lukis kartun bukan jenayah'

   

Zunar menganggap kemenangannya mencabar pengharaman buku kartun oleh kerajaan sebagai kemenangan seluruh kartunis di Malaysia.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan memberi peringatan kepada kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa melukis kartun bukan jenayah.

“Kerajaan harus terima keputusan mahkamah berdasar prinsip moral,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan membatalkan larangan terhadap dua buah buku Zunar 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun .

KDN mengharamkan buku itu pada 25 Mei 2010 bawah Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dengan alasan menjejaskan ketenteraman awam.

Dalam reaksi segeranya, Zunar menggesa kerajaan menghentikan segala tekanan terhadapnya serta pihak yang terlibat dalam penerbitan, percetakan dan penjualan buku-bukunya.

“Ini bukan saja tertakluk kepada dua buku di mahkamah ini saja, tetapi terhadap kesemua 16 lagi judul buku-buku saya yang lain,” katanya.

Beliau juga menuntut kerajaan memberhentikan penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadapnya, selain menyerbu pejabatnya.

“Henti mengganggu pengendali web yang membantu saya menjual buku secara atas talian.

“Henti menyerbu dan mengugut kilang-kilang percetakan dan kedai-kedai yang mencetak serta menjual buku-buku saya,” katanya.

Zunar masih berdepan dengan sembilan pertuduhan bawah Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur susulan sembilan tweet yang dibuat April lalu berkaitan sabitan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In