Rustam Sani: Reformasi belum lagi tercetus di Malaysia
Pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998 yang mencetuskan demontrasi jalanan, belum boleh dianggap sebagai titik permulaan reformasi negara, kata ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, Rustam A Sani.
"Pemecatan Anwar hanya mencetuskan reformasi kepada cabang politik sebilangan kecil rakyat iaitu dengan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada PAS di Terengganu dan kemenangan beberapa calon pembangkang dalam pilihanraya umum 1999.
"Tetapi tampuk pemerintahan negara tidak berubah, BN masih berkuasa, sistem pemerintahan negara masih yang dulu juga," katanya dalam forum bertajuk Reformasi Pemikiran dan Pemikiran Reformasi anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) di Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.
Dua lagi ahli panel ialah Ketua Penerangan PKR, Khalid Jaafar dan aktivitis reformasi Hishamuddin Rais. Kira-kira orang menghadiri dialog tersebut.
Malah, kata Rustam lagi, belum ada satu peristiwa yang boleh dianggap `titik permulaan reformasi' meskipun telah berlaku beberapa tarikh penting di sejarah negara ini.
Katanya, apa yang berlaku selepas enam tahun peristiwa tersebut dan Anwar kini sudah bebas, semangat reformasi mulai kendur dan tidak mustahil akan padam.
Menurut kemerdekaan
"Ini bermakna peristiwa pemecatan Anwar bukanlah permulaan reformasi Malaysia. Malah belum ada satupun tarikh permulaan reformasi di negara kita," tambahnya.
"Saya sendiri tidak tahu adakah akan ada satu peristiwa yang yang boleh diisytiharkan sebagai tarikh reformasi dalam negara kita," katanya.
Menurut Rustam lagi, `percikan' reformasi ini sebenanya sudah bermula pada tahun sebelum kemerdekaan lagi iaitu apabila pemimpin pejuang menuntut kemerdekaan dari penjajah British.
Katanya, Burhanudin Al Helmi yang pernah menjadi Presiden PAS bersama rakan-rakanya yang lain seperti wartawan-wartawan Ashraf dan Usman Awang, tidak putus-putus menyedarkan rakyat untuk menuntut kemerdekaan negara.
Malah 31 Ogos 1957 iaitu negara kita mencapai kemerdekaan dari British, juga tidak dianggap oleh Rustam sebagai tarikh permulaan reformasi negara.
"Tarikh 20 September 1999 (Anwar dipenjarakan) dan 31 Ogos dan sebagainya, belum boleh dikata atau diiktiraf sebagai titik permulaan reformasi dalam negara kita," katanya lagi.
Pusat ilmu
Walaupun gerakan reformasi kini, semakin kendur, tetapi Rustam bagaimanapun percaya masih belum terlambat untuk menyalakannya semula sehingga reformasi benar-benar berlaku.
Katanya, reformasi hanya berjaya jika ia meliputi semua bidang kehidupan termasuk kesenian, ekonomi, sosial dan lain-lain yang menjadi teras dalam kehidupan manusia.
"Reformasi tidak berjaya jika hanya berlaku dalam bidang politik seperti pada tahun 1998-1999 itu. Mana dia reformasi dalam kebudayaan, ekonomi dan sosial?" soal beliau.
Rustam menegaskan, jabatan kerajaan dan universiti kini bukan lagi menjadi pusat percambahan ilmu, sebaliknya tidak lebih daripada sebagai tempat `kakitangan berpakaian kemas dan bertali leher.'
"Dahulu saya pernah tegur universiti dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) agar tidak boleh menjadi tempat pentadbiran, sebaliknya pusat ilmu tetapi tidak didengar," tambahnya.
Bagimanapun, kenyataan Rustam itu disanggah oleh Khalid yang berkata, jika berlaku perubahan yang lebih besar kepada negara selepas ini, ia bermula daripada tarikh tersebut.
Api reformasi
"Tidak syak lagi 20 September 1999 adalah titik permulaan kepada gerakan reformasi negara. Bukan 31 Ogos 1957 tarikh negara merdeka seperti yang dikatakan sesetengah pihak.
"Di Eropah titik permulaan reformasi bermula apabila paderi Martin Luther King memakukan buku-bukunya di pintu gereja di Austria pada kurun ke-19, bukan semasa Revolusi Perancis seperti yang dikatakan ramai pihak," katanya lagi.
Manakala Hishamuddin, bekas aktivis pelajar pada tahun-tahun 1970-an dan dihantar ke Kem Tahanan ISA Kemunting selama dua tahun kerana terlibat dengan demontrasi jalanan pada tahun 1999 berkata, reformasi adalah kebebasan manusia untuk menentukan kehidupan sendiri.
Naib Presiden PKR, Tian Chua yang turut hadir di majlis tersebut pula menegaskan reformasi 1998 berlaku hanyalah untuk mengisi ruang kosong dalam masyarakat ekoran pemecatan Anwar.
Katanya, setiap negara mempunyai keperluan reformasi yang tersendiri dan ia tidak sama antara satu sama lain.
"Berjaya atau tidak api reformasi bergantung kepada keperluan masyarakat. Bagaimanapun, jika melibatkan seluruh rakyat, ia akan berjaya," tambahnya.