Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bahasa Melayu di negara ini terus tercemar disebabkan rakyat sendiri mengutamakan bahasa asing, selain tabiat mencampuradukkan bahasa kebangsaan dalam komunikasi seharian.

Timbalan Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Mohamad Azhar Mohd Abas berkata keadaan itu memerlukan perhatian yang mendalam daripada semua pihak.

"Tanpa disedari rakyat Malaysia sendiri yang mencemarkan bahasa kebangsaan apabila mereka memilih untuk mengutamakan bahasa asing.

"Menggunakan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu, memilih kosa kata kurang tepat, malah mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing dan sebaliknya - inilah antara isu yang memerlukan perhatian," katanya dalam ucapan perasmian seminar Mengantarabangsakan Bahasa Melayu di IPPTAR di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad Azhar berkata, penggunaan media sosial turut menyumbang kepada kerosakan bahasa Melayu.

Ia kerana, katanya, menerusi aplikasi media sosial masa kini, generasi sekarang gemar meringkaskan bahasa ketika berkomunikasi dan akhirnya merosakkan bahasa itu sendiri.

"Namun umum tahu, dilema yang kita hadapi pada hari ini ialah wujudnya sikap mengambil mudah dalam berkomunikasi menerusi media sosial menjadikan komunikasi kita semakin ringkas dan bercelaru," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS