Maszlee: Jangan nafikan perkara baik Jakim lakukan

   

Penasihat Muslim Professionals Forum, Maszlee Malik mengakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai kelemahan tetapi katanya, ini tidak seharusnya dijadikan alasan menafikan usaha baik yang telah dilakukannya.

Justeru, beliau mahu semua pihak melihat rekod dan pencapaian Jakim sebelum membidas dan mengeluarkan kenyatan yang melulu.

Maszlee ( kanan ) berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tawfik Ismail, anak sulung kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang mencadangkan Jakim dibubarkan.

“Di samping sumbangannya kepada usaha dakwah dan pengembangan Islam, Jakim juga mempunyai sumbangan yang signifikan di dalam industri makanan halal samada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Maszlee yang juga adalah seorang penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mencadangkan bahawa supaya Tawfiq ( bawah, kiri ) memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang agama Islam.

“Adalah kurang wajar menilai sumbangan Jakim kepada negara hanya dari kayu ukur material semata-mata.

“Mungkin Tawfiq perlu lebih banyak mendalami pengetahuan berkaitan agamanya sendiri,’ katanya.

Bagaimanapun, Maszlee mengakui bahawa Jakim mesti mengatasi kelemahan dalam tadbir urus, ruang pengkajian dan perhubungan awam.

“Hal itu memerlukan pendekatan yang lebih inklusif di pihak Jakim dan perlu lebih melibatkan ramai lagi pihak agar Jakim lebih membumi,” katanya.

Mazlee juga mahu Jakim mengelakkan wajah-wajah buruk penceramah yang memaki hamun dengan menggunakan nama jabatan itu.

“Penceramah yang memaki hamun dan marah marah seperti beliau memburukkan imej Jakim di mata umum dan pihak Jakim perlu melakukan sesuatu sebelum nama Jakim terus buruk,” katanya lagi.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In