Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid selar Azmin, dakwa tarif air akan naik
Diterbitkan:  Nov 12, 2015 12:36 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim membidas kerajaan negeri itu berhubung kenaikan tarif air selepas proses penyusunan semula keempat-empat syarikat konsesi air selesai sepenuhnya.

ADUN Pelabuhan Klang itu berkata tindakan itu bercanggah dengan semangat dan hasrat asal pengambilalihan industri perkhidmatan air oleh kerajaan negeri daripada syarikat konsesi sebelum ini.

"Mengikut perancangan awal, kenaikan tarif hanya akan dipertimbangkan selepas tiga hingga empat tahun industri perkhidmatan air Selangor berjaya distruktur semula sepenuhnya manakala sebarang kenaikan dijamin tidak akan melebihi 12 hingga 15 peratus setiap tiga tahun," katanya.

Sehingga kini Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) masih dalam proses rundingan pengambilalihan, manakala proses bagi tiga lagi konsesi, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) berjaya diselesaikan, kata Azmin.

Dalam kenyataannya hari ini, Khalid berkata pelbagai usaha dapat dilakukan bagi mengelakkan "langkah drastik" menaikkan tarif itu yang boleh menambah beban rakyat ekoran lonjakan kos sara hidup.

Dengan memberi contoh, Khalid berkata kerajaan negeri boleh mengelakkan pembaziran dan ketirisan dalam kos operasi dengan memotong perbelanjaan yang tidak perlu, mengurangkan kontrak berlapis-lapis dan menghentikan serta-merta penganugerahan sub-kontrak.

"Tambahan pula, sebagai pemilik mutlak, kerajaan negeri tidak perlu lagi mematuhi terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi atau mengikut kaedah operasi lama yang dipraktikan oleh syarikat konsesi.

"Sebaliknya, ia mempunyai kuasa menetapkan kaedah "pricing" dan "costing" yang baru di setiap peringkat operasi sebagai salah satu strategi kawalan kos keseluruhan; sekaligus mengurangkan malah menghapuskan keperluan menaikkan tarif," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa penubuhan badan pengawasan bebas industri air ditubuhkan yang berfungsi memantau metodologi penetapan tarif, mutu perkhidmatan dan memastikan keabsahan justifikasi dan legitimasi keperluan menaikkan tarif seperti yang didakwa.

"Meskipun kewajaran bagi kenaikan tarif wujud, perkara tersebut perlu dibentangkan di Dewan Negeri Selangor terlebih dahulu agar semua wakil rakyat faham dan jelas tentang isu-isu yang terlibat," katanya.

"Oleh kerana industri perkhidmatan air kini milik rakyat Selangor, amat wajar kerajaan negeri faham secara mendalam segala butiran dalam akaun dan rekod kewangan operator perkhidmatan air terutama aspek perbelanjaan.

"Dari situ, satu formula lestari boleh digarap bagi mengelakkan kenaikan tarif buat jangka masa panjang," katanya.

Bohong, kata Azmin

Azmin hari ini bagaimanapun berkata kenyataannya diputar belit sebahagian media yang melapor seolah-olah kerajaan negeri bersetuju menaikkan tarif air.

Menyifatkan perkara itu pembohongan dan fitnah, Azmin berkata beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana media terlibat.

Lihat Komen
ADS