Kerajaan mungkin kaji semula taraf PR BSA Tahir

Beh Lih Yi        

Kerajaan akan mengkaji semula taraf pemastautin tetap (PR) ahli perniagaan Sri Lanka BSA Tahir, yang kini sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid berkata mereka akan kehilangan taraf PR sekiranya didapati terbabit dalam aktiviti jenayah.

"Saya tidak tahu lagi (tentang Tahir), kita akan mengkajinya," katanya ketika menjawab soalan mengenainya di Lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, jika Tahir didapati bersalah terbabit dalam rangkaian pasaran gelap nuklear sepertimana yang didakwa, kerajaan akan mengambil tindakan.

Awal Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri mendedahkan bahawa taraf PR 16 orang yang disyaki anggota Jamaah Islamiah (JI) yang ditahan di bawah ISA, telah ditarik balik.

Berikutan itu, sebuah badan hak asasi manusia, Suaram menggesa kerajaan supaya mengembalikan status PR sehinggalah mereka didakwa dan dihukum oleh pihak mahkamah.

Menurut Azmi, tahanan ISA adalah 'lebih teruk' daripada penjenayah dan kerana itulah taraf pemastautin tetap mereka dibatalkan.

"Pada masa ini mereka ditahan di bawah ISA. Mereka lebih teruk kerana mereka dilihat melakukan perkara yang boleh mengancam keselamatan negara," tambahnya.

ISA memboleh kerajaan menahan mana-mana individu yang disyaki mengancam keselamatan negara untuk tempoh dua tahun tanpa perbicaraan.

Tahanan 'istimewa'

Tahir ditahan mengikut akta tersebut pada 28 Mei di Kualal Lumpur dan dihantar terus ke Kem Tahanan Kemunting di Perak.

Beliau disifatkan sebagai tahanan 'istimewa' kerana dia tidak perlu menjalani tempoh soalsiasat polis selama 60 hari sepertimana yang perlu dijalani oleh tahanan mengikut peruntukan di bawah ISA.

Tahir juga didakwa menjadi 'orang' utama rangkaian antarabangsa membekal komponen untuk program senjata nuklear Libya.

Berikutan itu, beberapa nama telah timbul sewaktu siasatan dijalan terhadap perkara tersebut, termasuk nama anak Perdana Menteri, Kamaluddin Abdullah Ahmad Badawi, dari syarikat yang berurusan dengan Tahir.

Bagaimanapun, pihak polis berkata Kamaluddin tidak terbabit.

Bagaimanapun, beberapa parti pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia mempersoalkan mengapa Tahir ditahan di bawah ISA sedangkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar mengatakan ahli perniagaan tersebut tidak terbabit dalam skandal tersebut.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In