Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada aktiviti pembalakan di hutan simpan Lentang'
Diterbitkan:  Nov 12, 2015 3:31 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Jabatan Perhutanan Pahang hari ini menafikan kegiatan pembalakan di pinggir hutan simpan Lentang sebagai punca berlaku banjir lumpur di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak petang semalam.

Pengarahnya Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman berkata tiada aktiviti pembalakan sedang dijalankan di kawasan itu termasuk bagi projek laluan Tenaga Nasional Malaysia Berhad (TNB) dari Bentong ke Lenggeng, Negeri Sembilan.

"Saya boleh jamin tiada pembalakan di kawasan itu. Perkara itu (projek TNB) pernah dibangkitkan dan kita sedang berbincang dengan pihak TNB berhubung isu laluan. Kerja pembalakan sudah dihentikan sejak lima atau enam bulan lalu.

"Kita dan TNB sedang mengkaji semula laluan dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk orang kampung di situ. TNB juga perlu menentukan sempadan jajaran yang diperlukan.

"Projek itu sepatutnya siap pada tahun hadapan, tapi disebabkan isu yang dibangkitkan, projek ini tersangkut... untuk diteliti dari segi jajaran dan perundingan. Memang setakat ini tiada kerja pembalakan," katanya kepada pemberita.

Mohd Paiz ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Sekolah Amanah antara Yayasan Pahang dan Yayasan Amir yang disaksikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Kuantan hari ini.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar hari ini mendakwa kegiatan pembalakan tidak terkawal di kawasan Hutan Lipur Lentang bagi projek laluan TNB dari Bentong ke Lenggeng, Negeri Sembilan adalah punca kepada kejadian banjir lumpur itu.

Sementara itu, ditanya mengenai gambar kejadian yang memaparkan banyak kayu dan pokok di situ yang tersebar di laman media sosial, Mohd Paiz berkata kayu itu tidak mungkin balak kerana jika balak, sudah pasti ia dalam keadaan telah dipotong.

Beliau berkata kayu itu mungkin dibawa arus air semasa kejadian dan berpendapat kejadian banjir lumpur itu mungkin disebabkan hujan lebat dan faktor kegagalan cerun di situ.

"Bagaimanapun, biar kita buat semakan dan kajian, barulah kita dapat keputusan konklusif. Jadi tidak boleh terus buat kesimpulan. Banyak faktor yang perlu dipertimbang dan diteliti. Kita sudah hantar pegawai kita dan akan dapatkan laporan terperinci mengenai kejadian ini," katanya.

Mohd Paiz berkata beliau juga sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan kakitangan jabatan itu yang diarahkan meninggalkan kuarters dan berpindah ke sebuah masjid di Lentang.

Kejadian banjir lumpur berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang semalam menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui, namun tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Hanya tiga buah kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu, namun kesemua pemilik kenderaan berjaya diselamatkan.

Pemegang konsesi lebuhraya itu, Anih Berhad berkata kerja pembersihan telah siap dilakukan pada pukul 3.20 pagi tadi, namun operasi pembersihan sepenuhnya dijangka dapat disiapkan paling awal dalam tempoh dua hari.

- Bernama

Lihat Komen
ADS