Kumpulan wartawan bidas serbuan ke atas Malaysiakini

   

Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dan gabungannya, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), membidas serbuan ke atas Malaysiakini oleh pihak berkuasa.

IFJ dalam satu kenyataan hari ini menggesa kerajaan supaya menghentikan asakan berterusan ke atas media di negara ini yang mencabuli kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.

Menurut IFJ, kerajaan Malaysia terus menggunakan undang-undang untuk menyekat kebebasan akhbar dan cuba mewujudkan budaya takut di kalangan media di negara ini.

"Media dan wartawan tidak sepatutnya dipaksa untuk mendedahkan sumber mereka. Kerajaan Malaysia mesti menghormati hak, tanggungjawab dan peranan media serta menjamin kebebasan akhbar."

Setiausaha Agung NUJM Schave de Rozario menyifatkan serbuan itu sebagai usaha berterusan oleh kerajaan untuk mengekang kebebasan media.

Pada 6 November kira-kira jam 5 petang, pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya diserbu oleh 10 anggota polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam lawatan itu, mereka merakamkan kenyataan daripada Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan dan merampas sebuah komputer.

Serbuan itu dibuat selepas penyiaran laporan berhubung pemindahan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Shazalee Abdul Khairi daripada Bahagian Operasi Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun menafikan laporan itu.

Namun, pada hari berikutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mengesahkan timbalan pendakwa raya itu diberi pemindahan dalaman.

Laporan itu, kini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah.

Ia bagaimanapun langsung tidak menyebut bahawa pegawai berkenaan dipindahkan keluar dari SPRM.

Selain daripada Malaysiakini, polis dan SKMM turut melawat pejabat akhbar harian Inggeris, The Star, minggu lalu.

Siasatan terhadap Malaysiakini dan The Star adalah berdasarkan kepada aduan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 November.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In