Cadangan kerajaan untuk mewajibkan pengasingan troli di pusat beli-belah bagi produk halal dan tidak halal mengundang perbualan hangat dalam masyarakat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hamzah Zainudin pada Jumaat berkata kerajaan bercadang untuk menyelaraskan pengasingan troli dan kaunter bagi produk halal dan tidak halal di semua pasar raya di seluruh negara.
Menteri juga mengumumkan bahawa pasar raya NSK Trade City telah bersetuju untuk mengasingkan troli mengikut warna - tidak halal berwarna merah dan halal berwarna lain bermula tahun depan.
Tinjauan Malaysiakini mendapati pasar raya NSK Kuchai Lama telahpun melaksanakan pengasingan troli halal dan tidak halal dan kebanyakan pembeli menerima langkah itu kerana menghormati agama Islam.
Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil pelanggan sahaja tidak puas hati dengan langkah ini kerana menyusahkan pembelian dan menjadikan negara ini makin Islamisasi.
Menurut seorang pekerja pengurusan yang enggan dinamakan, langkah itu telah dilaksanakannya sejak lebih setahun yang lalu dan apa yang diumumkan oleh menteri adalah troli yang dibezakan dengan warna bermula tahun depan.
Tetapi troli halal dan tidak halal di pasar raya NSK itu kini tidak membezakan warna. Sebaliknya troli tidak halal dilabelkan dengan papan tanda "non-halal" sebaliknya troli halal tidak diletakkan sebarang label.
Seorang pengurus restoran Alice Houng, 33, bahawa pengasingan troli halal dan tidak halal tidak mendatangkan sebarang kesusahan kepadanya.
Sebaliknya, katanya, langkah berkenaan baik untuk orang Islam kerana ia membantu mengurangkan risiko tersentuh kepada sisa-baki makanan yang tidak halal.
"Dari sudut agama, saya menghormati mereka kerana ini amat penting untuk orang Islam," katanya kepada Malaysiakini.
"Setakat ini, saya boleh menerima langkah ini, namun jikalau sekatan yang keterlaluan, saya akan membantah.
Hormati agama lain
"Contohnya kalau panggung wayang membezakan tempat duduk lelaki dan perempuan adalah keterlaluan dan mesti tidak boleh diterima," katanya lagi.
Sementara itu seorang pesara yang mahu dikenali sebagai Chew, 60, pula turut tidak membantah langkah pengasingan troli itu disebabkan menghormati agama lain.
Namun, Chew mengingati orang Islam bahawa mereka juga perlu menghormati orang bukan Muslim, seperti tidak boleh memanggil sesetengah kaum sebagai babi.
"Tidak boleh hanya kita menghormati mereka (Muslim), mereka juga harus menghormati kita.
"Contohnya tidak boleh memanggil kita sebagai 'babi' atau melarang kita makan atau minum di tempat awam ketika bulan Ramadan," katanya kepada Malaysiakini .
Manakala seorang pesara Jone Mohan, 62, pula berkata beliau akan memikir mana troli yang akan digunakan sebelum memulakan pembelian.
"Ini tidak membawa masalah kepada saya kerana saya akan memikir masak-masak sebelum membeli," katanya.
Walaupun majoriti pelanggan tidak membantah langkah ini atas sebab menghormati agama lain, seorang peniaga biskut yang dikenali Ng, 37, mengkritik langkah tersebut.
Ng yang mengunjungi pasar raya NSK itu hampir setiap hari kerana dia perlu membeli barangan untuk perniagaan biskutnya.
"Saya rasa ini melebih, kenapa perlu mengasingkan troli? Ini amat menyusahkan.
"Tambahan pula sejak lawatan menteri ke pasar raya ini, segalanya menjadi lebih tegas. Sekarang hanya troli tidak halal dibenarkan masuk bahagian tidak halal," kata Ng.
Ng berpendapat bahawa langkah itu hanya bertujuan untuk membezakan kaum dan beliau bimbang negara ini akan makin ke arah Islamisasi.
Puji langkah
Sementara itu, kebanyakan pengguna Muslim yang ditemui memuji langkah pengasingan troli yang dilaksanakan di pasar raya NSK.
"Saya sangat suka langkah ini, ini amat baik untuk pelanggan," kata Jomita Mohd, 28 ketika ditemui Malaysiakini .
"Kita bukannya nak membezakan Islam atau bukan Islam, sebaliknya ini adalah untuk kebaikan Muslim," katanya lagi.
Menurutnya lagi, pengasingan troli boleh mengelakkan makanan halal dan tidak halal bercampur dan ia menyenangkan Muslim.
Bagi penganalisis politik Wong Chin Huat pula membuat eksperimen di sebuah pusat beli-belah tempatan bahawa wang yang bertukar tangan turut berisiko tinggi tersentuh sisa daging babi berbanding troli.
Berikutan pengumunan ini, Wong Chin Huat memuat naik beberapa keping gambar ke akaun Facebooknya pada Selasa mengenai eksperimennya yang dijalankan di sebuah pasar raya tempatan.
Wong mengkaji sama ada troli yang digunakan oleh pembeli bukan Islam yang membawa makanan tidak halal boleh meninggalkan sisa baki tidak halal itu kepada pengguna Islam yang menggunakan troli yang sama.
Mengikut gambar Wong, bahagian tidak halal dalam pasar raya itu tertutup, maka udara di luar dan di dalam pun terpisah kecuali bila pintu dibuka.
Beliau memilih satu tulang babi dan ia dibalut dalam plastik dan luarnya kering.
Wong seterusnya tulis keterangan foto: "Risiko? Kalau takut permukaan plastik itu mempunyai sisa baki daging, maka tangan saya pasti membawa risiko."
Gambar kemudian menunjukkan jurujual membalut tulang babinya dengan sebuah beg plastik.
Risiko?
Wong tulis lagi keterangan foto :"Risiko? Tangan jurujual menyentuh lapisan plastik itu, seperti tangan saya."
Gambar kemudian menunjukkan Wong meletakkan tulang babi yang dibungkus dalam beg plastik terbaring di dasar troli.
Wong membayar dengan tunai dan menerima bakinya daripada jurujual. Wong menulis:
"Risiko? Tinggi. Wang yang bertukar tangan itu mungkin datang dari mana-mana saja, termasuk mereka yang baru menyentuh daging babi."
Wong membuat kesimpulan pada akhir eksperimennya bahawa risiko untuk troli terkena sisa-baki daging babi di permukaan bungkusan plastiknya amatlah rendah.
Sebaliknya, katanya risiko untuk orang Islam tersentuh sisa baki daging daripada wang ringgit dan syiling yang sentiasa bertukar tangan itu memang wujud.
"Daripada membezakan troli halal dan troli tidak halal, apakah hypermarket NSK cadangkan supaya pelanggan bukan Muslim membayar dengan kad sahaja dan tidak dengan tunai?
"Dan apakah kementerian akan mencadangkan supaya orang bukan Islam dilarang menggunakan wang kertas dan syiling sama sekali?" tanya Wong pada akhir esperimen.
Ketika dihubungi Malaysiakini , Wong berkata oleh kerana orang Islam tidak dapat memasuki bahagian tidak halal di pasar raya, maka beliau memuat naik gambar agar orang Islam memahami proses pembelian barang tidak halal oleh pelanggan bukan Muslim.
Katanya, eksperimennya menunjukkan bahawa risiko untuk troli terkena sisa baki daging adalah amat rendah berbanding wang kertas yang bertukar tangan.
"Saya bukan nak memalukan Muslim, tetapi saya nak mendedahkan muka hipokrit kementerian, persatuan pengguna dan pengurusan pasar raya yang cuba melabelkan orang bukan Muslim yang makan daging sebagai tidak bersih atau kotor.
"Kalau nak cerewet pasal troli, kenapa tidak cerewet pasal wang kertas?" soal Wong.
